Wednesday, May 1, 2013

Felda Jadi Bank Pengundi Barisan Nasional _ Ahmad Shabery

Ahmad Shabery beramah mesra dengan penduduk ketika melawat PDM Kuala Kerteh, kelmarin.
Enam kawasan tanah rancangan Felda di seluruh daerah ini menjadi ‘bank pengundi’ terbesar buat Barisan Nasional (BN) yang menyumbang kepada lebih 15 peratus undi bagi memastikan kemenangan di Parlimen Kemaman.

Calon BN Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kawasan Felda Kerteh 5, Felda Kerteh 6, Felda Seberang Tayor, Felda Cerul, Felda Neram 1 dan Felda Neram 2 adalah kekuatan asas buat BN.

Menurutnya, sokongan pengundi dari semua kawasan Felda itu akan membantu memberi kemenangan kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kali ini.

“Kita juga mendapat sokongan terbesar daripada masyarakat di pedalaman dan kelas menengah,” katanya ketika melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Kerteh, dekat Kemaman, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Wanita Umno Bahagian Kemaman, Senator Rohani Abdullah dan rombongan Pejabat Parlimen Kemaman.

Sementara itu, Ahmad Shabery menyeru mana-mana ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan calon yang dipilih pucuk pimpinan parti dan terasa hati, kerana tidak terpilih sebagai calon agar tidak berterusan berperasaan demikian.

 “Perkara ini sepatutnya padam selepas seminggu pengumuman nama calon sebab dalam soal ini, kita tidak boleh lihat calon yang terpilih itu adalah rezeki (kepada calon terpilih), sebalik itu adalah tanggungjawab buat calon yang terpilih.

“Kita semua perlu bersatu hati kerana apa yang penting kemenangan parti,” katanya.

Mengulas mengenai gerak kerja jentera beliau menjelang hari pengundian, Menteri Belia dan Sukan ini berkata, tempo gerak kerja akan ditingkatkan tiga hari terakhir sebelum PRU13. “Tiga hari terakhir adalah waktu kita memecut, semua tenaga yang ada akan dikerah (berkempen habis-habisan),” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment