Saturday, May 18, 2013

Idris Sedia Kongsi Konsep 'Ulul Albab' Di Peringkat Nasional

Menteri Pelajaran II Datuk Seri Idris Jusoh sedia untuk berkongsi kejayaan Konsep 'Ulul Albab' yang diperkenalkan di Terengganu ke peringkat nasional.

Idris berkata beliau akan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran secara lebih terperinci mengenai perkara itu.

"Saya boleh menggunakan pengalaman yang telah dilakukan di Terengganu, tetapi perlu beri masa sedikit bagaimana nak diterapkan dalam konteks nasional.

"Apa yang baik untuk Terengganu berbeza dengan nasional kerana kepelbagaian kaum di peringkat nasional termasuk Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu, semalam.

Konsep 'Ulul Albab' merupakan pembelajaran yang berlandaskan al-Quran dengan menggabungkan sains, teknologi serta moral dan berupaya melahirkan generasi yang sesuai untuk Malaysia sebagai negara Islam. 

Beliau berkata selain penekanan kepada kemajuan akademik, kemajuan akhlak juga perlu diberi perhatian untuk melahirkan generasi yang bertanggungjawab kepada negara.

"Pencapaian akedemik yang tinggi tanpa akhlak yang baik tidak boleh memberi kesejahteraan kepada masyarakat keseluruhan," katanya.

No comments:

Post a Comment