Saturday, May 18, 2013

UMT Tubuh Pusat Komunikasi Strategik di Putrajaya

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menubuhkan sebuah pusat komunikasi strategik di Presint 15, Putrajaya. Pusat itu akan mula beroperasi pada 1 Jun dan bakal berfungsi sebagai wakil UMT dalam pelbagai urusan berkaitan UMT di ibu negara.

Naib Canselor UMT, Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo ketika berucap pada Majlis Mesra Media UMT 2013 Edisi Kuala Lumpur malam kelmarin, berkata pusat komunikasi itu akan merancakkan lagi usaha UMT mempromosikan universiti agar lebih dikenali terutama kepada warga Kuala Lumpur.

"Saya juga percaya dengan wujudnya pusat komunikasi seperti ini, para pengamal media serta guru akan menggunakan saluran ini untuk merealisasikan kerjasama yang lebih erat daripada yang sebelum ini," katanya.

Ibrahim berkata selain itu, pusat komunikasi strategik itu juga akan menjadi pusat informasi kepada pelajar dan ibu bapa untuk mendapatkan maklumat mengenai UMT.

Ibrahim turut mengumumkan beberapa perancangan khusus untuk memperkenalkan UMT kepada media dan masyarakat antaranya Program Survival Laut Edisi Media 2013 pada 24 dan 25 Mei ini di Pulau Bidong, Terengganu, yang bakal mendedahkan pengamal media, terutama dari ibu kota, tentang penyelidikan yang dijalankan pihak UMT di pulau itu.

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi Mazlan Samsuddin.

Yang lain ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT Prof Dr Noor Azhar Mohamed Shazili, Timbalan Naib Canselor UMT Penyelidikan dan Inovasi Prof Dr Mohd Effendy Abg Wahid dan Timbalan Naib Canselor UMT Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Dr Anuar Hassan. UMT beroperasi di kampus utama di Mengabang Telipot, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Universiti yang mempunyai bidang pengkhususan sains marin dan sains akuatik, sesuai dengan slogan "Terokaan Seluas Lautan," menawarkan 26 pengajian Sarjana Muda dan satu pengajian diploma. Kini terdapat 7,220 pelajar di UMT.

No comments:

Post a Comment