Monday, May 27, 2013

Ke Final Piala FA - Kelantan Bawa Bekalan Selesa Bertemu Terengganu Esok

Nwakaeme (kanan) banyak mengubah rentak serangan Kelantan pada aksi separuh akhir pertama menentang Terengganu di Kota Bharu kelmarin. Kelantan menang 4-1.
Kejayaan mengalahkan Terengganu menjadikan Kelantan berhasrat pentas final akan menyaksikan pertembungan skuad Red Warriors dan Johor Darul Takzim (JDT).

Penasihat Persatuan Bola sepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa yang berpuas hati dengan persembahan skuadnya membenam Terengganu 4-1 pada pertemuan separuh akhir pertama Piala FA malam kelmarin, berharap anak buahnya mengekalkan momentum itu untuk ke final.

"Kita harap dapat bertemu Johor Darul Takzim di final, sebab baru ni kita tak puas hati sebab tak main 'full team'. Jadi kita nak main 'full team', kita nak uji Johor, di 'neutral ground'," katanya semalam.

Pada pertemuan di laman sendiri malam kelmarin, skuad Red Warriors yang menurunkan semua pemain utama, ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama namun bangkit pada 10 minit terakhir babak kedua untuk menjaringkan empat gol.

Juara bertahan Piala FA, Kelantan kini melangkah sebelah kaki ke final membawa bekalan selesa dan tidak perlu bekerja keras apabila bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada perlawanan suku akhir kedua, Selasa ini.

Skuad Penyu bermula garang apabila mengejutkan Kelantan menerusi gol pembukaan yang dijaringkan pemain tengah, Mohamad Ashari Samsudin menerusi tandukan seawal minit kedua perlawanan.

Tertekan dengan kedudukan itu, Kelantan yang terkenal dengan gelaran 'The Red Warriors' kembali bangkit pada babak kedua perlawanan apabila Dickson Nwamuso berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-79. Kelantan menambah duka Terengganu apabila Indra Putra Mahayuddin menjaringkan gol kedua pasukan tuan rumah pada minit ke-89 manakala Obinna Nwaneri menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan penalti tiga minit kemudian.

Zairo Anuar Zailani yang berjaya melepasi pertahanan lawan mengesahkan kemenangan bagi pasukan Kelantan apabila meledakkan gol pada masa tambahan.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa pasukan Johor Darul Takzim apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. Skuad bimbingan Fandi Ahmad perlu memperoleh jaringan besar di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada perlawanan pusingan kedua Selasa ini untuk mengesahkan tempat ke final.

Pemain Import dari Brazil skuad Harimau Selatan, Leonel George Nunuez menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-21.

Sementara itu dalam satu perlawanan Liga Perdana, Kedah mencatat kemenangan besar apabila mengalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan Mohd Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-32, Alen Guc (minit ke-42 dan ke-58) dan Mohd Sabre Mat Abu pada minit ke-48, manakala gol saguhati PDRM disumbangkan Mohd Fauzi Abd Majid pada minit ke-68.

No comments:

Post a Comment