Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata bantuan termasuk berbentuk kewangan dan kemungkinan disaran bergabung terutama yang menawarkan bidang kritikal.
"Kita mahu kolej swasta ini terus melahirkan modal insan yang memiliki kemahiran dalam bidang profesional untuk terus menjadikan Terengganu sebagai sumber tenaga mahir dalam pelbagai bidang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penyampaian Baucar Buku 1Malaysia kepada pelajar Showme International College, di Kuala Terengganu, semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif kolej Redzuan Abdul Aziz.
Sebanyak 60 pelajar peringkat Diploma Kemahiran Malaysia dari kolej itu menerima baucar bernilai RM250 terbabit.
Seorang pelajar Diploma Kemahiran Sistem Komputer, Mohd Fakhri Ali, 21, mengucapkan rasa syukur atas bantuan kerajaan itu kerana harga buku rujukan untuk jurusan pengajiannya semakin mahal. "...saya sangat berharap bantuan ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang kerana pelajar seperti kami sangat menghargai keprihatinan kerajaan ini terutama bagi kami yang datang daripada keluarga berpendapatan sederhana," katanya.
Bagi Nur Nadhirah Mohamad, 21 pula pemberian baucer buku kali kedua itu sememangnya sangat dinanti-nantikan oleh pelajar sepertinya kerana dapat mengurangkan beban kewangan mereka.
"Untuk semester ini, saya sepatutnya membelanjakan RM300 untuk membeli buku rujukan, dan dengan adanya bantuan ini, saya hanya perlu menambah RM50 sahaja lagi," kata pelajar jurusan Kemahiran Penjagaan Kanak-Kanak itu.
Pelajar peringkat Diploma Kemahiran Pengurusan Korporat, Nur Atiqah Ramly, 21, pula mahu menggunakan baucar itu untuk membeli buku rujukan tambahan yang boleh membantunya mendalami jurusan yang diikutinya.
"Selain itu, saya juga ingin membeli beberapa buah buku bahasa Inggeris untuk meningkatkan kosa kata dalam bahasa utama dunia itu," katanya.
No comments:
Post a Comment