Tuesday, May 7, 2013

Kekalahan 7 DUN, 2 Parlimen Di Terengganu - Salah Ahmad Said?


Pilihan raya umum ke-13 banyak mengajar Barisan Nasional khususnya UMNO untuk mengenali siapa kawan sebenar dan siapa kawan yang ‘menikam dari belakang’ dalam politik.

Kegagalan BN mendapatkan majoriti dua pertiga di peringkat pusat turut mendesak kita menilai setiap prestasi komponen kali ini.

Malah BN yang mengumpulkan parti pelbagai kaum di bawah satu lambang dan bendera nampaknya semakin terhakis sokongan terhadapnya, kecuali oleh parti-parti di Sarawak, Sabah dan UMNO sendiri.

Di sebalik kejayaan Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengekalkan BN berkuasa semula di Putrajaya, beliau tetap gagal meraih dua pertiga dan menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama yang gagal mendapat mandat dua pertiga di Dewan Rakyat.

Selain itu, sebagai Pengerusi BN dan Perhubungan UMNO Selangor, Najib gagal menawan balik Selangor seperti Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu Pengerusi BN dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan gagal menawan kembali Kelantan pada pilihan raya selepas ia jatuh ke tangan PAS dan Semangat pada 1990.

Walaupun dibantu oleh Tun Dr Mahathir, ternyata tsunami pengundi Cina yang melanda kepimpinan Najib begitu kuat sehingga beberapa kawasan yang dianggap kukuh, turut tumbang kali ini.

Keyakinan pembangkang untuk mendapat Putrajaya, Perak danTerengganu selain mengekalkan Kelantan Selangor, dan Pulau Pinang sudah ditunjukkan sebaik Dewan Rakyat bubar.


Blog rasmi dan proPAS di Terengganu sebelum ini begitu yakin Terengganu akan jatuh kepada pembangkang pada PRU13 kerana isu-isu ‘panas’ yag dibawa oleh mereka termasuk isu terbaharu iaitu ‘rasuah balak oleh Menteri Besar’.

Walaupun PAS dan PKR bercakaran di Terengganu namun, hajat besar mereka untuk kembali ke Darul Iman tetap menjadi idalam.


Tiga faktor yang dinyatakan Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kenapa pengundi memilih pembangkang ialah pengundi luar, pengundi muda dan pengundi Cina.

Dengan kata lain ia bukan faktor calon. Bagi saya ada satu lagi faktor iaitu pembangkang membekalkan jentera mereka dengan fitnah dan lebong pembohongan.

PAS melancarkan ‘perang menawan Darul Iman’ dengan fitnah dan pembohongan selain menaruh harapan akan berlaku ‘cas keting’.

Ternyata 'cas keting'  tidak berlaku seperti diharapkan, khususnya di Besut dan Setiu.

Kekalahan di semua DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu, Cukai di Kemaman, Alor Limbat dalam Parlimen Marang dan Sura di Dungun dilihat lebih kepada ‘tsunami pengundi Cina’ dan pengundi muda.

Sementara kekalahan di beberapa DUN lain yang dijangka menang dilihat kekuatan PAS yang semakin meningkat selain calon-calon BN yang dikatakan ‘kurang menyerlah’ berbanding calon PAS.

Tidak nampak ‘cas keting’ sama ada di Dungun, Marang dan Hulu Terengganu, sebaliknya kekalahan di DUN yang dijangka menang adalah mungkin kerana strategi tidak mengena.

Malah kekalahan pakar strategi BN Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan di Parlimen Dungun dikaitkan dengan ‘persoalanpersoalan berkaitan dirinya sendiri, bukan UMNO atau BN’.


Ahli Majlis Tertinggi Umno,Datuk Seri Idris Jusoh berkata BN perlu membuat kajian semula terhadap kemerosotan sokongan rakyat kepada parti itu selepas keputusan PRU13 yang memberi banyak petunjuk kepada parti

Katanya, tumpuan patut diberikan terhadap saluran orang muda yang jelas tidak memihak kepada BN.

Katanya,mungkin ada sesuatu yang tidak kena dan parti akan memperbaikinya untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai Umno.

Idris berkata, beliau bersyukur kerana BN masih lagi mampu menguasai Terengganu dan Kerajaan Pusat selepas menghadapi serangan hebat pembangkang.

Walaupun berjaya mempertahankan Terengganu, kemerosotan undi kepada BN menyebabkan ada pihak menuding jari kepada Ahmad Said iaitu Pengarah Pilihanraya Negeri.

Kita tidak boleh mempersalahkan mereka.

Persoalannya apakah Ahmad Said yang juga Pengerusi BN dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri sahaja yang patut dipertanggungjawabkan kepada kekalahan dua Parlimen BN dan DUN BN yang jatuh kepada pembangkang?

Dua parlimen yang jatuh kepada pembangkang ialah Dungun yang diwakili Rosli dan Kuala Nerus yang diwakili Datuk Mohd Nasir Ibrahim.

Sementara DUN yang kalah ialah Chukai (Kemaman), Paka dan Rantau Abang (Dungun), Alor Limbat (Marang), Tepuh dan Teluk Pasu (Kuala Nerus) serta Bandar di Parlimen Kuala Terengganu.

Jika dilihat kepada kawasan kalah, kita lihat dulu siapa Pengarah Pilihanraya Parlimen yang diamanahkan dan bagaimana prestasi mereka.

1. DUNGUN - Ketua Bahagian ialah Datuk Rosli Mat Hasan - beliau kalah di Parlimen Dungun dan hanya DUN Bukit Besi kekal. Tiga lagi iaitu Rantau Abang dan Paka yang sebelum ini di bawah BN kalah. Sementara DUN Sura yang Rosli sendiri menjadi Pegawai Penyelaras DUN gagal ditawan semula);

2. KUALA NERUS - Ketua Bahagian ialah Datuk Mohd Nasir Ibrahim - beliau kalah di Parlimen Kuala Nerus dan hanya DUN Seberang Takir kekal. Tiga lagi iaitu Tepoh dan Teluk Pasu yang sebelum ini di bawah BN kalah. (Sementara DUN Bukit Tunggal gagal ditawan semula);

3. KUALA TERENGGANU - Ketua Bahagian ialah Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh - beliau kalah di DUN Ladang. Tiga lagi DUN iaitu DUN Wakaf Mempelam dan DUN Batu Burok gagal ditawan semula, sementara DUN Bandar yang satusatunya diwakili MCA turut hilang.

Menariknya apabila sahaja DUN dibubarkan, Ahmad Said memberikan keutamaan kepada kawasan Parlimen dan DUN lain, selain Kemaman, sebagai keutamaan.


Beliau turun ke Parlimen Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang dan Dungun sebelum kembali ke Kemaman tetapi kembali semula ke Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sebelum kembali ke Kemaman sekali lagi.

Maknanya, Ahmad Said berada di luar kawasan Parlimennya tujuh hari dan di Kemaman hanya tiga (3) hari ketika kempen pilihan raya berkenaan.

Setelah memberi perangsang kepada Pengarah Pilihanraya Parlimen masing-masing Ahmad Said baru tumpukan kepada kawasannya dan walaupun berusaha, satu DUN iaitu Cukai jatuh ke tangan pembangkang. Pada 2008, majoriti yang dimiliki BN ialah 769 undi yang dimenangi Datuk Mohd Awang Tera.

Gara-gara kekalahan di tujuh DUN dan dua Parlimen, Ahmad Said bagaikan dipersalahkan apabila ada cakap-cakap siapa calon yang layak menggantikan Ahmad Said?

Kini ada pihak cuba mengaitkan kemerosotan sokongan rakyat kepada BN dengan prestasi Ahmad Said sebagai panglima Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), selain beberapa faktor dalam dan luaran termasuk budaya peteh atau 'cas keting'.

Sememangnya, spekulasi mengenai Terengganu bakal mendapat MB baru hangat diperkatakan sejak sebelum PRU lagi.

Namun ia semakin kencang apabila penyokong BN dan UMNO tidak dapat menerima kehilangan tujuh kerusi DUN berbanding 24 yang dimenangi pada 2008, selain kalah dua kerusi Parlimen kepada PAS.

Bersambung

1 comment:

  1. TERIMALAH KEKALAHAN DENGAN HATI YANG TENANG.
    ITUPUN JIKA KITA YAKIN DENGAN QADA DAN QADAR.
    SEMUANYA DARIPADA ALLAH.

    BIARLAH SYAITAN MEMBISIK KEBURUKKAN.
    TAPI KEYAKINAN KITA WAJIB KEPADA ALLAH. SEMUA YANG BERLAKU SEMUA DALAM PERANCANGAN ALLAH.
    MANUSIA TIDAK ADA KUASA APA-APA PUN.

    YAKINLAH.. SEMUANYA KETENTUAN DARI ALLAH.
    MUHASABAH DIRI DAN TERIMA DENGAN HATI YANG SABAR, JIKA KAMU SEORANG YANG BERIMAN KEPADA ALLAH.

    ReplyDelete