Friday, May 24, 2013

Kementerian Perlu Bendung, Siasat Guru Guna Laman Sosial Fitnah Kerajaan


"Saya dapat laporan terdapat guru-guru yang mempertikaikan keputusan PRU13 berhubung dakwat kekal, menyatakan ada 'black-out', bawa lari peti undi, bawa masuk pengundi Bangladesh dengan kapal terbang dan sebagainya yang semuanya itu adalah fitnah semata-mata."
- Datuk Seri Ahmad Said

Kementerian Pelajaran diminta menyiasat kegiatan guru yang menggunakan laman sosial Facebook, Twiter dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memfitnah kerajaan semasa kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata sebagai seorang pendidik, guru yang cenderung untuk berpolitik tidak seharusnya menyebarkan fitnah dengan memburukkan kerajaan.

"Saya rasa kesal kerana ada guru-guru yang menggunakan Facebook, twiter, SMS dan sebagainya mengeluarkan fitnah dengan memutarbelitkan kepada sesuatu yang tidak benar.

"Seterusnya saya dapat laporan terdapat guru-guru yang mempertikaikan keputusan PRU13 berhubung dakwat kekal, menyatakan ada 'black-out', bawa lari peti undi, bawa masuk pengundi Bangladesh dengan kapal terbang dan sebagainya yang semuanya itu adalah fitnah semata-mata," katanya.

Beliau menyatakannya  kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kemaman di Chukai, semalam.

Ahmad Said berkata seorang guru yang berfikiran sedemikian memberi gambaran bahawa golongan pendidik di negara ini belum matang dan mereka seharusnya membuat penilaian terhadap sesuatu berita yang terima atau hendak disampaikan.

Dalam perkembangan lain Ahmad berkata, sebuah sekolah menengah yang baharu akan diwujudkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang dijangka mampu memberi kemudahan kepada penduduk terutamanya pelajar di beberapa kampung di sekitarnya.

Katanya sehingga ini, tapak sekolah berkenaan telah dikenal pasti dan permohonan untuk pembinaannya telah dihantar ke Kementerian Pelajaran.

Beliau berkata, sehingga ini DUN Kijal hanya mempunyai tiga sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal, SMK Seri Bandi dan SMK Bukit Kuang.

 Ahmad turut menjelaskan sebuah sekolah Imtiaz yang baharu akan beroperasi di Kemaman mulai tahun hadapan yang kini dalam proses pembinaan.

Katanya, dengan wujudnya sekolah Imtiaz di bawah kerajaan negeri itu, ia menjadikan keseluruhan lima buah sekolah seumpamanya di Terengganu.

"Selepas ini kita akan bina sekolah Imtiaz di Setiu, Marang dan Kuala Nerus sebagaimana yang kita janjikan dalam manifesto, sebuah sekolah Imtiaz di setiap daerah di Terengganu," katanya.

Pada majlis itu, seorang pesara guru Abdul Jalil Abdul Hamid, 62, telah dinobatkan sebagai tokoh guru 2013 bagi daerah Kemaman.

No comments:

Post a Comment