Wednesday, May 15, 2013

Komuniti Perniagaan Harap Kabinet Baharu Beri Kesan Dinamik Kepada Ekonomi


Kehadiran muka-muka baharu dalam senarai Kabinet termasuk teknokrat ekonomi dan kewangan memberi peluang yang baik untuk meningkatkan lagi penguasaan sistem ekonomi Islam di Malaysia, kata Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia Mohamad Sahar Mat Din.

"Pelantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar (gambar atas) sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi amat disokong bagi pihak kami," kata beliau.

Sahar berkata, Wahid yang mempunyai pengetahuan mendalam dalam institusi kewangan negara termasuk yang berbentuk Islamik seharusnya juga memberi pembaharuan dalam institusi ekonomi negara.

"Kami berharap muka-muka baharu mampu membawa hasrat kami untuk menjadi insititusi wakaf sebagai satu jentera terbaru penggerak ekonomi negara," kata beliau.

Institusi wakaf ini, katanya, mampu memberi manfaat bersama tidak mengira kaum dan agama.

Sementara itu peserta industri tempatan dan tokoh-tokoh korporat lain juga berharap Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu boleh membawa kesan dinamik kepada pentadbiran negara, untuk diterjemah menjadi ekonomi yang lebih dinamik.

 Presiden Persekutuan Industri Biojisim Malaysia Datuk Leong Kin Mun berharap Kabinet baharu itu boleh memperkenalkan idea-idea baharu untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam bagi mewujudkan daya saing ekonomi lebih kukuh.

 Beliau juga memuji pelantikan Abdul Wahid dan berkata bahawa gabungan nilai sektor awam dan budaya korporat boleh membentuk kayu pengukur yang baik bagi budaya berasaskan prestasi.

 Ketua Pegawai Eksekutif Magna Prima Bhd Datuk Rahadian Mahmud Mohammad Khalil berkata negara boleh menjangkakan idea-idea baharu dan menarik dalam transformasi Malaysia daripada muka-muka baharu dalam Kabinet.

"Harapannya akan ada perubahan bagi merangsang pertumbuhan perniagaan dalam negara agar lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan dapat diwujudkan," katanya.

Pengerusi Eversendai Corporation Bhd, Datuk A.K. Nathan berkata beliau berharap fokus utama pelantikan semula Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, adalah untuk meletakkan Malaysia di kedudukan lebih baik sekarang daripada daripada segi perniagaan antarabangsa dan hubungan ekonomi dan menjadikan Malaysia destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ASEAN. 

Sementara itu menurut pandangan penganalisis selaku Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank Dr Nazri Khan, Kabinet baharu jelas menunjukkan kepada komuniti pelaburan dan antarabangsa bahawa Malaysia adalah stabil dan bersedia untuk membawa perubahan serta sentiasa terbuka bagi perniagaan. 

Beliau berkata Kabinet baharu itu mewakili semua sektor Malaysia terdiri daripada ahli politik, korporat dan aktivis sosial dan menandakan komposisi mesra perniagaan yang akan memastikan kepada pasaran kestabilan dan kapasiti kerajaan untuk menggubal dasar pertumbuhan dan membuat keputusan yang baik bagi masa depan ekonomi Malaysia.

No comments:

Post a Comment