Monday, May 13, 2013

Lucut Kerakyatan Peserta Protes Di Singapura

Sekumpulan pelajar Malaysia yang mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik di Taiwan pada 6 Mei lalu.
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mendesak kerajaan supaya melucutkan kerakyatan 21 rakyat Malaysia yang mengadakan perhimpunan haram sebagai membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di Singapura pada Rabu lalu.

Setiausaha Agungnya, Zambri Mohd. Isa berkata, demonstrasi haram yang diadakan di Singapura itu memalukan dan menjatuhkan imej Malaysia serta telah memberi gambaran salah mengenai kerajaan di negara ini kepada pihak luar.

“Tindakan mereka boleh memberi kesan buruk kepada industri pelancongan dan menjejaskan keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia.


“Kami minta kerakyatan mereka (peserta perhimpunan haram di Singapura) dilucutkan,” tegasnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

 Zambri kemudiannya menggesa pihak polis Malaysia supaya mengambil tindakan sama seperti polis Singapura dengan menangkap mana-mana pihak yang mengadakan perhimpunan haram di negara ini.

Beliau mengulas mengenai insiden pihak berkuasa Singapura yang menahan 21 rakyat Malaysia kerana mengadakan demonstrasi haram di Merlion Park, Singapura dalam kejadian pada Rabu lalu.

Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Ketenteraman Awam negara itu kerana mengadakan bantahan secara haram walaupun polis Singapura berulang kali memberi amaran agar mereka tidak berbuat demikian.

Penganjur demonstrasi itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sebanyak S$10,000 (RM24,115) atau kedua-duanya sekali, sementara mereka yang menyertai bantahan haram itu pula boleh dikenakan denda sehingga S$5,000 (RM12,057).

Sementara itu, tokoh sejarah negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim membidas tindakan sekumpulan kecil rakyat Malaysia yang mengadakan demonstrasi haram membantah keputusan PRU-13 di Singapura.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM) berkata, rakyat Malaysia terbabit menunjukkan sikap yang tidak wajar apabila melanggar undang-undang di negara itu hanya kerana sentimen politik mereka.

“Setiap negara ada undang-undang dan kita perlu menghormati undang-undang mereka apabila berada di negara terbabit.

 “Kita tiada kuasa dan tidak boleh berbuat sesuka hati kita di negara lain,” katanya.

Selain kes di Singapura itu, pihak polis juga sedang menyiasat mengenai tindakan 100 pelajar Malaysia di Taiwan pada 6 Mei lalu yang memegang bendera Malaysia secara terbalik bagi memprotes keputusan PRU-13.

No comments:

Post a Comment