Monday, May 13, 2013

Sultan Johor Mahu Wakil Cina Dalam Exco Negeri


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah barisan Exco Kerajaan Negeri yang bakal dilantik dalam masa terdekat turut dibarisi oleh wakil daripada pemimpin kaum Cina.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Sultan Ibrahim menyuarakan hasrat tersebut kelmarin ketika menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sendiri di Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru.

Beliau berkata, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda amat mementingkan perpaduan kaum di negeri ini dan sehubungan itu, kerajaan negeri perlu menyenaraikan kaum Cina dalam barisan Exco yang baharu kelak.

“Saya berharap titah Tuanku itu akan diterima baik dan dijayakan oleh wakil daripada MCA atau Gerakan yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13),” katanya di Johor Bahru semalam.

Secara tradisinya, terdapat 10 Exco yang akan dilantik terdiri daripada tujuh wakil UMNO, satu MIC dan dua kaum Cina daripada MCA.

Begitupun timbul tanda tanya mengenai wakil kaum Cina berikutan MCA sebelum ini memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan di peringkat Persekutuan atau negeri selepas kalah teruk dalam PRU-13.

MCA hanya menang dua kerusi iaitu di DUN Paloh dan DUN Pulai Sebatang, manakala Gerakan menang di DUN Pemanis.

Pada PRU-12, dua wakil rakyat daripada MCA iaitu ADUN Paloh, Datuk Hoo Seong Chang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri manakala ADUN Bekok, Tan Kok Hong dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar negeri.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang merupakan calon Menteri Besar Johor yang baharu berkata, secara keseluruhannya, senarai barisan Exco telah ditetapkan namun beliau enggan mendedahkan sehingga majlis angkat sumpah diadakan.

Majlis angkat sumpah Menteri Besar dan barisan Exco negeri yang baharu dijangka diadakan serentak di Dewan Undangan Negeri, Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan,  esok berikutan Istana Besar kini dalam proses baik pulih dan hanya siap pada penghujung tahun ini.

No comments:

Post a Comment