Wednesday, May 8, 2013

Menteri Besar - Kerana Merajuk Ahmad Said Bawa ADUN Lompat Parti?

  
"Kepaduan itu ditunjukkan melalui adanya bekas ’10 Budak Hitam’ yang terus terpilih bertanding selain ‘bekas Exco dan ADUN’ turun padang bagi menjamin kemenangan calon Barisan Nasional pada PRU13 baru-baru ini. Kalau ada ‘cah keting’ atau boikot daripada mereka, Terengganu kini sudahpun menjadi negeri pembangkang dan PAS kembali berkuasa di negeri ini."
 
Sambungan semalam 

Macam-macam ramalan dan firasat kini berlaku di Terengganu.

Malah ada yang bersifat fitnah yang sengaja mahu memburukkan keadaan dan mempersoalkan kesetiaan  Datuk Seri Ahmad Said.

Ia gara-gara lambatnya perlantikan Menteri Besar – sama ada mengekalkan yang ada sekarang  atau orang baru.

Seperti disebut sebelum ini, isu Ahmad Said sebagai Menteri Besar tidak akan terhenti hanya kerana beliau bertanding semula selepas ‘tok nujum politik’ mengatakan beliau akan disekat bertanding di DUN Kijal.


Kini hanya dua negeri yang dikuasai Barisan Nasional – kebetulan kedua-duanya negeri Pantai Timur – iaitu Pahang dan Terengganu sahaja belum ada majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar.
 
Pahang dijangka diadakan akan mengadakan majlis itu esok di Istana Sultan Abu Bakar, Pekan. Bagi Terengganu pula, sehingga ini belum ada kedengaran apa-apa berita daripada pihak istana dan yang ada adalah pelbagai khabar angin.

Bila sebut khabar angin, ia sesuatu yang tidak dapat disahkan dan daripada sumber mana tidak pula diketahui.

Yang pasti Ahmad Said kini setia masih menunggu sama ada beliau akan dikekalkan atau beliau akan digugurkan.


Seperti berlaku di Pahang, apabila nama Menteri Besar belum diumumkan, spekulasi siapa bakal dilantik ke jawatan itu kini mula diperkatakan.

Kononnya punca perlantikan ditangguhkan adalah keputusan BN merosot di Pahang yang turut dialami oleh Terengganu.

Seperti Ahmad Said yang memimpin BN di Terengganu, BN Pahang dipimpin oleh Datuk Seri Adnan Yaakob berjaya mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum ke-13, Ahad lepas.

Di Pahang, Barisan Nasional berjaya memenangi 30 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. Jumlah itu bagaimanapun merosot berbanding pilihan raya umum 2008, apabila BN Pahang menang 37 kerusi, sebelum calon Bebas Tanah Rata menyertai BN, menjadikannya 38.


Bagaimanapun beberapa pemerhati politik, berkata beberapa nama disebut-sebut berkemungkinan bakal dilantik sebagai Menteri Besar Pahang yang baharu.

Antaranya Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menang di DUN Peramu Jaya dengan majoriti besar 7,627 undi. Turut disebut ialah Timbalan Pengerusi Umno Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsudin (DUN Lanchang) dan Datuk Shahiruddin Ab Moin (DUN Dong) yang juga pengerusi GiatMara.

Di Terengganu, pada PRU 2008, yang ketika itu, ‘panglima BN” ialah Datuk Seri Idris Jusoh, jumlah kerusi dimenangi Barisan Nasional ialah 26 (termasuk 1 MCA) dan PAS 8 kerusi.

Namun kali ini, Barisan Nasional  mendapat 17 kerusi (MCA kalah di DUN Bandar) dan kerusi Parlimen turut merosot kepada 4 kerusi di mana sebelum ini ia memiliki 6 kerusi.

Antara khabar angin di Terengganu yang disebarkan melalui sms dan media baru termasuk:


 1. Ahmad Said mengancam akan ‘melompat ke PAS dengan membawa seorang penyokong kuatnya’;

2. Istana tidak berkenan untuk menyambung jawatan Menteri Besar kepada Ahmad Said;

3. Datuk Seri Mohd Najib Razak mahu calon lain menjawat Menteri Besar, dan 

4. Pelantikan MENTERI BESAR baru akan memberikan nafas baru kepada pembangunan Terengganu yang dikatakan terlalu bergantung kepada sumber alam.

Berkaitan kemungkinan Ahmad Said mengancam, rasanya perkara seperti itu sengaja dibuat untuk mengeruhkan keadaan.

Ahmad Said sedar sekiranya melakukan demikian ia adalah sabotaj terhadap parti dan BN yang tidak mungkin beliau lakukan kerana Ahmad Said setia kepada UMNO.

Dia sering mengingatkan rakyat dan penjawat awam supaya jangan menghianati perjuangan kerana jika melakukannya, kita adalah orang yang paling HINA!

Kerana itu dengan meyebarkan sms dan menyebarkan berita Ahmad Said akan membawa bersamanya seorang ADUN adalah TIDAK BENAR SAMA SEKALI!

Ada juga mengatakan pihak istana tidak senang dengan Ahmad Said sekarang. Dulupun Ahmad Said dilantik kerana TIADA CALON LAIN yang layak.

Kini dengan sekurang-kurangnya dua Ketua Bahagian UMNO lain – Hulu Terengganu dan Setiu – sudah menang di kerusi DUN, pilihan semakin banyak.

Malah dikatakan dah ada ‘penyokong’ dua ADUN berkenaan cuba melobi agar bos mereka menjadi Menteri Besar.

Ini juga rasanya hanya spekulasi sahaja! Soal Najib mahu Menteri Besar baru, ini sukar untuk diulas kerana ia adaah hati kecil Perdana Menteri itu sendiri.

Persoalannya, apakah Najib berani mengambil risiko sedangkan beliau sendiri sedang berdepan dengan masalah menempatkan dirinya di situasi yang kukuh akibat Barisan Nasional tidak mampu mencapai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.


Risiko Najib lebih bahaya dalam parti daripada pilihan raya kerana penyokong UMNO akan menjamin negara ditadbir oleh Barisan Nasional tetapi tidak semestinya Najib menjadi Perdana Menteri.

Silap perkiraan Najib, dia akan menerima padah daripada bahagian-bahagian UMNO khususnya di Terengganu!

Mengenai perlantikan Menteri Besar baru akan memberikan nafas baru kepada pembangunan, ini sesuatu yang subjektif.

Persoalannya, apakah Ahmad Said mentadbir secara ‘persendirian’ tanpa dokongan Exconya? Atau mereka hanya ‘Pak Turut’ dan mengia serta melaksanakan sahaja apa juga keputusan Menteri Besar?

Jadi, jika hanya berasaskan keputusan pilihan raya untuk perlantikan semula Menteri Besar di Terengganu, persoalannya, apakah ada AKU JANJI dibuat bahawa kalau sekiranya majoriti merosot, jawatan MENTERI BESAR akan ditarik balik?

Jika tidak, bermakna ada perkiraan dan penelitian lain dibuat oleh pucuk pimpinan parti khususnya Najib kerana melengah-lengahkan perlantikan semula ini.

Najib memerlukan sebab-sebab yang kukuh untuk dipersembahkan kepada Sultan Terengganu untuk mendapatkan perkenannya bagi tujuan perlantikan semula Ahmad Said sebagai Menteri Besar atau menukarnya dengan orang baru. 

Namun risiko terhadap Najib dan UMNO tetap ada sekiranya menggugurkan Ahmad Said – bukan kerana Ahmad Said akan melompat parti – tetapi sokongan ahli UMNO dan Bahagian kepada Menteri besar itu tetap utuh, apalagi selepas terbukti UMNO Terengganu kini padu.

Kepaduan itu ditunjukkan melalui adanya bekas ’10 Budak Hitam’ yang terus terpilih bertanding selain ‘bekas Exco dan ADUN’ turun padang bagi menjamin kemenangan calon Barisan Nasional pada PRU13 baru-baru ini.

Kalau ada ‘cah keting’ atau boikot daripada mereka, Terengganu kini sudahpun menjadi negeri pembangkang dan PAS kembali berkuasa di negeri ini. Namun UMNO dan Barisan Nasional terus kekal berkuasa dan membuktikan Ahmad Said bekerja keras mempertahankan kuasa Barisan Nasional di negeri ini.

Mahu dikatakan merosot sokongan terhadap Barisan Nasional?

Negeri lain juga menghadapi masalah yang sama. Najib sendiri gagal mencipta majoriti dua pertiga pada pilihan raya pertama untuk dirinya mendapatkan mandat rakyat bagi mengesahkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri keenam sejak 2009 yang lalu.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO dan Barisan Nasional!

Najiblah Perdana Menteri pertama yang gagal mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, sedangkan Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya melakukannya pada pilihan raya umum 1982 dan Tun Abdullah Ahmad Badawi melakukannya dengan cemerlang pada pilihan raya umum 2004!!!

No comments:

Post a Comment