Wednesday, May 22, 2013

Muhyiddin Cadang Guna Nama Kementerian Pendidikan

Muhyiddiin bersama Idris (kanan) pada sesi taklimat di Kementerian Pendidikan di Putrajaya semalam. 
Penyeragaman struktur Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pada masa yang sama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran telah mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meringkaskan nama kedua-dua kementerian itu kepada Kementerian Pendidikan dan diharap mendapat persetujuan dalam tempoh segera.

"Proses pencantuman kedua-dua kementerian ini bukan sesuatu yang sukar kerana Kementerian Pelajaran menumpukan kepada sekolah rendah dan menengah yang telah dilakukan sekian lama.

Sementara itu, Kementerian Pengajian Tinggi berurusan dengan pendidikan tinggi dan ini telah dilaksanakan dengan baik dan cemerlang oleh pimpinan terdahulu.

"Struktur baharu kementerian ini sedang disusun. Saya telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara (Datuk Seri Ali Hamsa) dan kelmarin (berbincang) dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Datuk Mohamad Zabidi Zainal) sambil mendengar pandangan daripada kedua-dua pimpinan tertinggi sedia ada," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.

No comments:

Post a Comment