Jidin (nombor dua dari kiri) pada majlis perasmian Festival Kenyir yang disempurnakan Menteri Besar baru-baru ini. |
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Terengganu Datuk Mohd Jidin Shafee berkata langkah itu perlu selepas didapati kehadiran pelancong asing ketika Festival Kenyir 2013 kurang memberangsangkan.
Sekalipun festival lima hari bermula 16 Mei itu berjaya melangkau sasaran 35,000 pengunjung, majoriti daripada 37,500 pelawat yang datang adalah pelancong domestik manakala angka pelancong asing agak kecil, katanya kepada pemberita selepas menutup festival itu, di Kuala Berang.
Menurutnya, segala persiapan untuk menarik pelancong asing ke Tasik Kenyir sudah sedia termasuk penguatkuasaannya sebagai kawasan bebas cukai bermula tahun depan.
"Kita akan sediakan infrastruktur yang lebih baik bagi merebut sebarang peluang dalam bidang pelancongan kerana Terengganu akan menjadikan sektor pelancongan punca pendapatan utama negeri ini kelak," katanya.
Katanya Tasik Kenyir mempunyai kriteria perlu untuk menjadi antara produk pelancongan utama Terengganu kerana kaya dengan khazanah alam semula jadi yang mampu memikat pelancong terutama dari negara luar.
Mengulas perkara berkaitan, Mohd Jidin berkata kerajaan negeri yakin sasaran 450,000 pelawat mengunjungi Tasik Kenyir tahun ini mampu dicapai berdasarkan sambutan dalam tempoh empat bulan pertama.
Setakat April lepas, lebih 90,000 orang mengunjungi tasik ini, tidak termasuk angka ketika festival ini dan sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 kerajaan negeri merancang pelbagai lagi aktiviti untuk merancakkan industri pelancongan di Kenyir, katanya.
No comments:
Post a Comment