Tuesday, May 14, 2013

PAS Terengganu Sedia Tunai Sebahagian Janji Manifesto - Wahid Endut


Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu sedia melaksanakan beberapa huraian dalam janji manifesto pilihan rayanya, sekali pun gagal menguasai kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu,  Mohd Abdul Wahid Endut berkata, meski pun PAS masih tidak diberi kemenangan dan memerintah tetapi ada sebahagian daripada janji manifesto yang boleh dilaksanakan.

 Katanya, komitmen PAS jelas mahu mempastikan masa depan negeri dan rakyat Terengganu terus terbela.
“Walau pun kita (PAS) masih tidak diberi kemenangan untuk memerintah Terengganu tetapi ada sebahagian dalam janji manifesto kita itu yang mampu untuk kita cuba laksanakan.

“Saya harapkan sokongan rakyat dari seluruh negeri supaya bertambah lagi untuk kita (PAS) hadapi Pilihan Raya Umum (PRU14) akan datang.

Kita (PAS) bersedia dan bekerja dari sekarang, Insya’Allah,” tegasnya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Perdana Kesyukuran PRU13 bersama Presiden dan Naib PAS, Datuk Seri  Abdul Hadi Awang dan Salahuddin Ayob di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Marang pada 8 Mei lalu.

Menurut Abdul Wahid, PAS Terengganu terus bekerja dari sekarang bagi menumbangkan Umno dan kerajaan BN pada pilihan raya umum yang akan datang.

Menurutnya, PAS Terengganu kini mempunyai kekuatan tenaga muda yang terpilih pada pilihan raya lalu bagi mewakili Dewan Undangan Negeri (Dun).

 “Pilihan raya umum akan datang, kita (PAS) akan tumbangkan Umno-BN. Ini komitmen kita (PAS) dan dalam masa tiga empat tahun akan datang ini sebelum PRU14, dalam Dun Terengganu…pemuda kita akan berhujah dalam dewan, Insya’Allah.

“Dari segi berhujah, kita (PAS) akan beri fakta apabila berbahas dalam dewan nanti. Kita akan pastikan masa depan negeri Terengganu dan rakyat dapat dibela,” ujarnya dihadapan puluhan ribu hadirin. 

Sehubungan itu, beliau turut merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat dan pengundi yang memilih PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya lalu.

Katanya, PAS dan Pakatan Rakyat masih mengharapkan sokongan dan dokongan rakyat bagi memacu kemenangan parti pada pilihan raya akan datang.

BO Online

No comments:

Post a Comment