Sunday, May 12, 2013
Pemilihan MCA Seawal Jun, Soi Lek Sedia Letak Jawatan
MCA akan mengadakan pemilihan parti seawal bulan depan bagi mendapatkan pemimpin baharu seterusnya memastikan parti tersebut kekal bersatu dan relevan kepada rakyat.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, beliau akan meletakkan jawatan antara Jun hingga Disember ini bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu.
Saya tidak akan berundur hanya kerana sesetengah ahli mahu saya berundur kerana majoriti masih mahukan saya kekal sebagai presiden.
MCA juga tetap dengan pendirian untuk tidak menerima sebarang jawatan Kabinet sebagai menghormati keputusan rakyat umum lalu," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden MCA di Kuala Lumpur, semalam.
Kelmarin, ekoran prestasi merudum MCA pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kumpulan veteran MCA mendesak Soi Lek supaya berundur dari kancah politik dengan melepaskan jawatannya.
Bekas Presiden MCA, Tan Koon Swan berkata, imej parti itu perlu dibaiki segera bagi meraih kembali sokongan masyakat cina terhadap MCA sekaligus Barisan Nasional (BN).
"Kami minta beliau (Soi Lek) meletakkan jawatannya dan beri laluan kepada muka baru bagi memulihkan dan memberi nafas baru kepada parti ini.
"Kami tampil hari ini bukan ada agenda peribadi tetapi kerana kami sayangkan MCA. Demi parti serta komuniti yang bersama MCA beliau harus bertanggungjawab dan letak jawatan," katanya pada sidang media khas yang diadakan kelmarin.
Antara yang hadir bekas Menteri Kesihatan, Tan Sri Lee Kim Sai; bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Lim Ah Lek, bekas Timbalan Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Wong Kam Hoong dan bekas Bendahari Agung MCA, Tan Sri Yin Pin. PRU13 menyaksikan kekalahan terburuk MCA apabila hanya menang di tujuh kerusi Parlimen daripada 37 kerusi yang ditandingi.
MCA juga hanya menang 11 kerusi Dun daripada 90 kerusi yang ditandinginya.
Menurut Kim Sai, pihaknya percaya dengan perubahan yang berlaku dalam parti, masyarakat Cina akan kembali menyokong MCA.
"Pemimpin yang baik tahu bagaimana untuk menguruskan parti, kehendak parti perlu diutamakan bukan kepentingan diri. "Sebagai tanda rasa cinta akan parti agar tidak terkubur, pengorbanan harus dilakukan. Pemimpin datang dan pergi tetapi parti terus berjuang," katanya.
Terdahulu, Soi Lek menegaskan yang beliau tidak akan bertanding jawatan presiden pada penggal akan datang, beliau turut enggan menerima jawatan dalam Kabinet.
Mengulas mengenai jawatan MCA dalam Kabinet, Koon Swan berkata, tidak salah untuk MCA terus berada dalam Kabinet asalkan melaksanakan tugas dengan baik.
"Saya percaya perdana menteri akan meletakkan wakil MCA dalam Kabinet, ini kebiasaannya. "Tindakan itu juga sebagai penghargaan kepada parti yang telah menyumbang jasa selama ini," katanya yang turut memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketika ditanya mengenai isu 'tsunami cina', Ah Lek berkata, pihaknya mengakui perkara itu terjadi namun yakin masih ramai masyarakat Cina menyokong BN.
"Terdapat banyak tempat masyarakat Cina masih menyokong kita. Namun apabila imej MCA itu terjejas secara tidak langsung mempengaruhi sokongan rakyat.
"Imej presiden terjejas, rakyat akan letak persepsi dan jejaskan parti. Kita percaya MCA masih relevan kerana banyak masalah masyarakat Cina dapat diselesaikan oleh BN," katanya.
Tambah beliau, bagi menarik kembali sokongan rakyat terhadap MCA perubahan drastik perlu dilakukan terutamanya membersihkan imej presiden.
"Kalau imej pemimpin tidak baik, orang tak kan dengar apa yang pemimpin itu katakan. Masalah sekarang bukan orang tolak keseluruhan MCA itu tapi corak kepimpinan yang ada.
"Apa yang saya zahirkan ini adalah suara akar umbi. Ketika kempen tempoh hari ada yang kata pada saya mereka terima calon itu tapi mereka tidak dapat terima MCA masa kini," katanya.
No comments:
Post a Comment