Friday, May 10, 2013

Pemimpin, Duta Ucap Tahniah Kepada Najib, Puji Proses PRU13 Aman, Demokratik


Kalangan pemimpin dan duta asing mengucapkan tahniah atas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan memuji proses pilihan raya umum yang menurut mereka diadakan secara demokratik.

Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad, yang mengucapkan tahniah kepada Najib, berkata kemenangan itu dicapai di bawah kepimpinan cemerlang beliau.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Najib atas pelantikan semula sebagai Perdana Menteri Malaysia dan menurut Presiden Iran itu, senario itu dapat diterjemahkan sebagai sokongan padu terhadap dasar-dasar Barisan Nasional.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Iran di Kuala Lumpur, Ahmadinejad berkata beliau yakin hubungan dua hala di bawah kepimpinan Najib akan terus kukuh dan "bertambah kukuh dari hari ke hari, sepertimana di masa lalu".

"Saya berdoa kepada Allah semoga merahmati Yang Amat Berhormat dan kerajaan serta rakyat Malaysia dengan kesihatan yang baik, kejayaan dan kemakmuran," katanya.

Pada PRU13 Ahad lepas menyaksikan BN mengekalkan kuasa selepas berjaya memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

Sementara itu, Duta Azerbaijan Prof Dr Qaley Allahverdiyev, berkata PRU13 telah diadakan secara penuh demokratik dan aman.

"Proses pilihan raya berjalan dengan baik. Dengan mengambil kira bahawa terdapat protes pada tahun lepas dan awal tahun ini, pilihan raya umum baru-baru ini dan kempen berjalan dengan amat baik" katanya kepada Bernama.

Mengucapkan tahniah kepada Najib, beliau berharap BN akan menunaikan semua janjinya dan bahawa "rakyat boleh merasai atau memahami perubahan yang mereka (BN) akan lakukan demi kebaikan negara."

Duta Ukraine Ihor V. Humennyi, yang turut mengucapkan tahniah kepada Najib dan BN berkata beliau kagum dengan proses PRU13, termasuk kempen pilihan raya yang disusun dengan teratur dan dianjurkan secara aman. Penglibatan aktif rakyat Malaysia dalam pilihan raya umum itu membuktikan perkembangan demokrasi di negara ini semakin subur dan rakyat semakin sedar mengenai politik, katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, katanya keputusan PRU13 menunjukkan wujud polarisasi dalam kalangan masyarakat etnik di Malaysia dan berharap keadaan itu dapat ditangani.

No comments:

Post a Comment