Thursday, May 2, 2013

Penduduk Mengabang Telipot Terengganu Bakal Miliki Masjid Baru - Najib

Najib disambut rakyat di Mengabaang Telipot semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mengeluarkan peruntukan sewajarnya bagi menggantikan masjid lama Mengabang Telipot dengan masjid baharu.

 Walaupun dalam suaranya yang sudah serak, pengumuman tersebut nyata memberi impak dengan disambut sorakan padu hampir 6,000 penduduk tempatan yang hadir pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Mengabang Telipot semalam.

Najib ketika berucap berkata kedatangannya hari ini amat bermakna kerana sebelum ini ayahanda beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, pernah bersolat di masjid itu ketika melawat negeri ini pada 1971. 

"Hari ini setelah 42 tahun, saya berasa terhormat dapat mengulangi apa yang Allahyarham lakukan... sebab itu kalau datang dengan tangan kosong, saya rasa tidak sedap hati...," katanya sebelum mengumumkan rancangan pembinaan masjid baru itu. Perdana Menteri yang meluangkan masa selama lebih 30 minit turut memberi sumbangan sebanyak RM105,200 sebagai bantuan kepada nelayan setempat dan turut menyerahkan kerusi roda kepada tiga penerima.

Turut hadir isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bersama isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud serta beberapa calon BN bagi kawasan Kuala Nerus dan Setiu.

Sementara itu, Imam Satu Masjid Mengabang Telipot, Rashid Ali, 65, ketika ditemui menyifatkan pengumuman pemimpin pertama negara itu sebagai hadiah berharga kepada penduduk setempat.

Katanya masjid model lama yang berusia 87 tahun (sejak 1926) itu sudah tidak mampu menampung jemaah yang kian meningkat berikutan terdapat beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan kolej perguruan di sekitarnya.

"Bukannya mudah bagi seorang pemimpin negara datang melawat kawasan, lebih-lebih lagi Masjid Mengabang Telipot menyaksikan kedatangan anak dan ayah selaku perdana menteri," katanya.

Beliau yang merupakan penduduk asal dan telah menjadi imam sejak 2004 berkata pastinya pengumuman itu merupakan suatu yang membanggakan dan sememangnya ditunggu-tunggu.

Rashid berkata difahamkan, semasa lawatannya, Allahyarham Tun Razak telah berjalan kaki ke masjid ini kira-kira empat kilometer dari Kampung Pak Tuyu, berdekatan simpang Universiti Malaysia Terengganu sekarang ini.

No comments:

Post a Comment