Tuesday, May 21, 2013

Penerima Tokoh Guru Cemerlang Terengganu Mahu Terus Curah Bakti Dalam Sektor Pendidikan


Penerima Anugerah Tokoh Guru Negeri Terengganu 2013, Draman Muda, 62, terharu kerana sumbangannya kepada sektor pendidikan negeri ini diiktiraf oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) semalam.

Beliau yang menjadi Pengarah di JPNT sebelum bersara enam tahun lepas berkata pekerjaan mulia itu adalah ibadah, sekali gus mendorongnya untuk melakukan yang terbaik sepanjang berkhidmat sebagai guru.
"Tugas kita adalah menyampaikan ilmu untuk generasi pelapis negara.

Setiap ilmu yang baik dan diamalkan oleh pelajar akan menjadi sumber pahala berterusan buat sang pendidik dan inilah yang menjadi pembakar semangat saya dalam mengharungi suka duka selama 32 tahun di alam perguruan.

"Harapan saya agar guru pada masa sekarang serius memberi komitmen terbaik mereka untuk mendidik anak murid kerana cabaran menjadi guru ketika era globalisasi ini sangat besar," katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah itu yang disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, Ghazali Taib; dan Pengarah JPNT, Zakaria Husin.

Sementara itu, penerima Anugerah Guru Kelainan Upaya Cemerlang, Che Arshad Yasin, 49, dari Sekolah Kebangsaan Kampung Buloh, Setiu pula menganggap kekurangan fizikalnya sebagai cabaran untuk beliau menjadi guru terbaik kepada anak muridnya.

Beliau yang berpengalaman mengajar subjek Bahasa Melayu, Sivik dan Kajian Tempatan selama 26 tahun bermula dari 1987 hingga sekarang bertekad mahu terus mencurahkan ilmu sebaik mungkin bagi membina pelajar sebagai insan cemerlang.

"Walaupun mengalami kesukaran untuk bergerak disebabkan kecacatan pada tangan kanan akibat mengalami kemalangan jalan raya 25 tahun yang lalu, saya tetap meneruskan tugas saya sebagai seorang guru untuk mendidik anak bangsa.

"Kadang kala saya mengalami kesakitan dan sukar untuk bergerak apabila tangan saya mula kebas, namun saya tetap meneruskan pengajaran untuk memastikan anak didik saya berjaya," katanya.

Beliau turut aktif dalam sukan Orang Kurang Upaya (Paralimpik) sejak tahun 2000 dalam acara pingpong serta catur dan pernah memenangi beberapa pingat gangsa pada tahun 2010 dan 2012.

No comments:

Post a Comment