Tuesday, May 21, 2013

Penyu Tanpa Tonggal Import Menentang Selangor

Bikana  (kanan) tidak dapat beraksi dalam kesebelasan Terengganu pada perlawanan menentang Selangor esok kerana digantung satu perlawanan.
Terengganu  akan mempertaruhkan tenaga tempatan pada aksi menentang Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini.

Perubahan tersebut terpaksa dilakukan selepas pemain pertahanan import, Vincent Bikana tidak dapat beraksi kerana digantung satu perlawanan.

Pengendali skuad Penyu, E. Elavarasan memberitahu, beliau akan memastikan para pemain dapat meneruskan corak permainan lebih bertenaga seperti yang dipamerkan ketika menumpaskan Perak 3-1, Jumaat lalu.

"Selain Bikana seorang lagi benteng pertahanan, Hasmizan Kamoruddin menerima nasib sama dan terpaksa diketepikan pada aksi menentang Selangor.

"Bagaimanapun, pasukan kita akan diperkuatkan dengan kehadiran semula perancang utama pasukan, Ismail Faruqi Ashaari yang kembali beraksi selepas menjalani penggantungan satu perlawanan akibat kad merah. 

"Kreativiti pemain lincah ini diharap dapat membantu untuk merealisasikan hasrat Terengganu meraih mata pada perlawanan itu kelak," katanya.

Elavarasan mengakui yang perlawanan menentang Selangor bukan satu tugas mudah memandangkan skuad kendalian Irfan Bakti itu mempunyai rekod cemerlang terutama apabila beraksi di gelanggang sendiri. 

Katanya, beliau tetap menaruh keyakinan bahawa Terengganu mampu meraih mata meskipun turun tanpa tenaga import pada perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, Elavarasan memberitahu, beliau tidak berdepan sebarang masalah menurunkan kesebelasan utama memandangkan para pemain utamanya bebas daripada kecederaan.

"Saya berharap para pemain yang dipilih dalam kesebelasan utama kelak mampu menggalas tanggungjawab dengan baik.

"Pemain sedia ada seharusnya mengambil peluang ini sebagaimana yang dibuktikan oleh pemain muda, Mohamad Fakhrulrazi Musa ketika diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Perak, Jumaat lalu," ujarnya.

 Elavarasan cukup kagum dengan corak permainan pemain muda itu kerana bukan sahaja mampu memikul tugas di bahagian tengah dengan baik tetapi turut berjaya meledak gol dalam perlawanan tersebut.

"Bagi saya pemain seperti ini yang kita mahukan kerana khidmat pemain simpanan diperlukan pada bila-bila masa. Dia (Fakhrulrazi) berjaya menjalankan tugas dengan baik," katanya.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment