Wednesday, May 22, 2013

Pengalaman Kali Pertama Mencandat Sotong Sukar Dilupakan Golongan Artis



Wan Sharmila
Pertama kali mendengar perkataan "candat" membuatkan artis Akademi Fantasia musim keenam, Ika Nabila Abdul Rahim, 24,(gambar atas) terpinga-pinga kerana tidak mengetahui definisinya hingga memaksanya membuat kajian tentang aktiviti mencandat sotong.


Menurutnya setelah terpilih mengikuti program Terengganu Water Fiesta 2013 yang diadakan di sini beliau terus melakukan penyelidikan di Internet selain merujuk kepada ayahnya tentang aktiviti tersebut.

"Ayah menerangkan kepada saya tentang kegiatan mencandat sotong, setelah berada di tengah laut baru saya memahami pengertian candat, memang seronok walaupun pada mulanya agak bosan menunggu umpan mengenai sasaran," katanya  ketika ditemui selepas selesai aktiviti itu di sini baru-baru ini.

Menurutnya pengalaman pertama kali mencandat sotong membuatkannya teruja untuk melakukannya buat kali kedua apatah lagi seluruh ahli keluarganya amat berminat dengan aktiviti itu.

Pengalaman pertama kali mencandat sotong turut dikongsi pelakon berbakat, Wan Sharmila Wan Muhamed, 31.

Bagaimanapun, katanya, beliau hanya dapat mencandat buat seketika kerana selepas itu dia mengalami pening kepala dan hanya menghabiskan masanya dengan tidur di atas kapal nelayan.

"Kalau tidak kerana tugas untuk mempromosikan aktiviti ini kepada masyarakat mungkin saya tidak akan pergi mencandat, sebenarnya saya bukanlah jenis individu yang sukakan aktiviti lasak," katanya.

Katanya walaupun berpengalaman dalam aktiviti penggambaran drama di atas bot namun pengalamannya berada di dalam bot nelayan untuk mencandat sotong adalah perkara baharu dan sukar dilupakannya. 

Pelakon drama, Ridzuan Hashim pula berkata dia sudah mempersiapkan mindanya untuk tidak mahu melayan perasaannya jika mahu muntah atau pening kerana apa yang penting baginya ialah merasai keseronokan mencandat sotong.

"Setelah berusia 52 tahun inilah pertama kali saya mencandat sotong, memang ada perasaan nak muntah tapi saya buat tidak tahu sahaja," katanya.

 Ridzuan berkata penglibatan bersama golongan artis hendaklah diperbanyakkan dengan aktiviti itu kerana artis juga berminat untuk mempromosikan pelbagai program berbentuk sukan dan rekreasi.

Kehadiran 10 artis popular daripada Kelab Sukan Artis Malaysia (MASC) menghangatkan lagi program Terengganu Water Fiesta 2013 yang diadakan pada 18 Mei dan 19 Mei lalu bertujuan untuk mempelbagaikan lagi produk-produk pelancongan di negeri ini.

Artis lain yang turut serta ialah pelakon Syed Aiman Syed Mahmud, Danny x Factor, Aiman Hakim, Azrul Zaidi, Emelda Rosmila, Sheera Iskandar dan Keith Foo

No comments:

Post a Comment