Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini menerima kunjungan delegasi Kolej Universiti Perguruan Ugama (KUPU) Seri Begawan, Brunei, susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pada Februari lepas bagi kerjasama dalam bidang akademik.
Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniSZA, Profesor Dr Amran Ahmed berkata antara yang dibincangkan pada kunjungan itu ialah mengenai hala tuju masa depan kedua-dua universiti, khususnya di rantau Asia.
"UniSZA bekerjasama dengan Kolej Universiti itu... menyalurkan kepakaran dalam bidang falak, syariah dan usuluddin.
"Setakat ini kita ada kerjasama dengan beberapa universiti dari Thailand, Indonesia serta Jordan dan berhasrat mahu menambah bilangannya supaya lebih banyak manfaat bakal diperoleh," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan delegasi itu.
Timbalan Ra'es (Rektor) Kolej Universiti itu Dr Norarfan Zainal berkata pihaknya setakat ini mengadakan kerjasama dengan lapan universiti di Malaysia dan tujuh di Indonesia.
Katanya sebagai sebuah kolej universiti yang masih muda iaitu ditubuhkan pada 2007, ia memerlukan bantuan kepakaran daripada tenaga akademik profesional di universiti terkenal termasuk di Malaysia untuk melahirkan golongan profesional anak tempatan.
"Saya terharu dengan kesediaan UniSZA untuk membantu kami dan secara peribadinya juga saya pernah belajar di sini dengan mengambil jurusan ilmu Falak dan sangat berhasrat mahu melahirkan ilmuan dalam bidang itu di Brunei.
"Ianya adalah Fardu Kifayah untuk kami di Brunei mempelajarinya dan berharap mahasiswa di sana akan memanfaatkan ilmu itu untuk negara kami," katanya.
Delegasi itu juga dijadual berkunjung ke Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Universiti Sains Islam Malaysia, Negeri Sembilan dan Universiti Teknologi Malaysia, Johor.
Sementara itu Profesor Dr Amran berkata universiti itu menyasarkan 80 peratus daripada graduannya akan mendapat pekerjaan selepas tempoh enam bulan menamatkan pengajian berbanding 70 peratus ketika ini.
"Kita mahu pelajar melakukan lebih banyak pembentangan kertas kerja supaya mereka mahir dalam bidang komunikasi sekali gus membiasakan diri mereka dengan persekitaran industri kerja yang bakal mereka tempohi nanti.
"Kebolehpasaran kerja ini bergantung kepada banyak faktor, namun pada asasnya ialah kebolehan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa sebagai antara kelebihan buat graduan," katanya.
Katanya UniSZA juga menandatangani MoU dengan puluhan syarikat industri untuk menempatkan pelajar yang ingin membuat latihan amali dan rakan industri itu akan ditambah dari semasa ke semasa.
No comments:
Post a Comment