Monday, May 20, 2013

Perairan Pulau Kapas, Pulau Bidong Aktif Aktiviti Candat Sotong

Gambar hiasan...candat sotong di Pulau Kapas.
Perairan Pulau Kapas dan Pulau Bidong merupakan antara lokasi kegemaran peminat aktiviti mencandat sotong, kata Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) cawangan Terengganu Wan Supian Datuk Wan Ishak.

Beliau berkata berdasarkan kajian serta maklumat pelancong, haiwan itu banyak terdapat di kedua-dua lokasi manakala bulan Mei hingga Julai merupakan musim mencandat sotong paling baik.

"Kita jangka antara 10 hingga 30 bot dalam seminggu pergi untuk aktiviti mencandat antara lokasi Pulau Bidong dan Pulau Kapas," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Pakej Candat Sotong 2013 oleh Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia Datuk Mirza Muhammad Taiyab di Prinzpark Resort semalam.



Wan Supian juga berkata pelancong tidak perlu risau dari segi keselamatan di laut kerana semua bot nelayan mempunyai lesen dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Sementara itu, Mirza berkata Pelancongan Malaysia menyasar ketibaan 26.6 juta pelancong ke Malaysia pada tahun ini dan 28.3 juta sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Untuk tiga bulan pertama tahun ini, sambutan menggalakkan dari segi jumlahnya, tahun lepas bilangan pelancong yang datang adalah seramai 25.3 juta orang, hal ini menunjukkan peningkatan daripada tahun ke tahun," katanya.

Selepas sidang akhbar, barisan artis daripada Kelab Sukan Artis Malaysia (MASC) menguji kehandalan dengan memasak pelbagai resipi berasaskan sotong seperti kari, masam manis, spaghetti, percik dan maggi.

No comments:

Post a Comment