Monday, May 20, 2013

MIC Sokong Kepimpinan Ahmad Said

MIC Terengganu menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Ahmad Said dan berharap beliau tidak digugurkan sebagai Menteri Besar.

Ia berikutan dakwaan pihak tertentu bahawa beliau akan diganti dengan pemimpin lain selepas setahun, sekiranya gagal memperkuatkan BN di negeri ini.

“Orang India bersetuju Menteri Besar tidak ditukarkan dengan orang lain. Bagi saya tidak perlu tukar kerana beliau amat prihatin terhadap semua kaum termasuk India,” katanya kepada Sinar Harian, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Ahmad Said sebelum ini menafikan spekulasi kononnya beliau akan menjawat jawatan Menteri Besar untuk tempoh tertentu sahaja.

Katanya, spekulasi seumpama itu telah tersebar sejak beliau dilantik menjawat jawatan tersebut pada tahun 2008.

Ahmad Said memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Terengganu untuk penggal kedua di pejabatnya di Wisma Darul Iman 13 Mei lalu setelah BN berjaya memenangi 17 daripada 32 kerusi Dun pada PRU13. 

Sementara itu, R Suppiah turut meminta kaum Cina khususnya tidak melupakan jasa BN selepas sebahagian besar kaum itu dikatakan berpaling tadah kepada pembangkang dan dilihat sebagai faktor yang menyebabkan kemerosotan undi BN di peringkat Pusat. “Saya mohon jangan lupa ‘kawan lama’.

Jangan jadi macam kacang lupakan kulit,” katanya.

Kecewa dengan tindakan rakyat yang mudah terpengaruh kepada PR, beliau menjelaskan bahawa BN melakukan yang terbaik kepada semua rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa.

Katanya, BN sentiasa mendahulukan rakyat setiap masa bagi memastikan mereka bergerak maju seiring dengan kerajaan untuk memastikan segala pelaksanaan berjalan lancar.

“Saya pun tidak tahu apa yang berlaku terhadap masyarakat Cina. BN sudah tolong semua masyarakat dan kita harap semua kembali kepada BN. Janganlah tukar kerajaan kerana jika perkara ini berlaku, macam-macam perkara yang boleh terjadi,” katanya.

 R Suppiah bagaimanapun berbangga dengan sokongan rakyat India terhadap BN khususnya di negeri ini kerana dakwanya kira-kira 85 peratus masih mengundi parti kerajaan.

“Sebanyak 20 peratus lagi tidak balik mengundi kerana berada di luar Terengganu dan orang India sama ada muda atau warga tua masih memberi sokongan penuh kepada BN,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengharapkan golongan muda tidak terus terpengaruh dengan janji pembangkang kerana telah terbukti di negeri di bawah pentadbiran pembangkang sebelum ini tidak mampu memberikan khidmat yang baik kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment