Monday, May 13, 2013

Perhimpunan Di Batu Kawan Tiada Permit


Perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat yang diadakan di Stadium Batu Kawan, dekat sini malam kelmarin tidak mempunyai permit, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Beliau berkata, kegagalan pihak penganjur mengemukakan permohonan 10 hari sebelum berlangsungnya perhimpunan menyebabkan polis tidak mengeluarkan sebarang permit.

"Pihak penganjur perhimpunan itu hanya menghantar surat makluman kepada Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pada 10 Mei (Jumaat) pada pukul 4.15 petang.

"Pada hari yang sama juga Ketua Polis Daerah SPS telah menghantar surat jawapan kepada pihak penganjur agar program tersebut ditangguhkan kerana tidak mematuhi peraturan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu syaratnya ialah pihak penganjur hendaklah membuat permohonan 10 hari sebelum hari perhimpunan," katanya dalam kenyataan semalam.

Justeru, beliau berkata, polis telah membuat satu laporan polis berhubung perhimpunan itu mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana menganjurkan program tanpa kelulusan polis dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000.

Menurut Abdul Rahim, polis turut menerima tujuh laporan polis daripada orang awam berhubung insiden tayar kereta pancit semasa perhimpunan berkenaan termasuk kereta Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Shafien Mamat menjadi mangsa khianat mereka yang tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment