Sunday, May 12, 2013

Terengganu Tidak Bercadang Teruskan Khidmat Pegawai Pembangunan Di Kawasan BN Kalah


Kerajaan Negeri Terengganu tidak bercadang meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata rakyat di kawasan Parlimen dan DUN berkenaan perlu meminta bantuan daripada wakil rakyat yang mereka pilih.

"Kita akan pertimbangkan cara lain, namun buat masa ini memang tiada cadangan untuk meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di kawasan yang (BN) kalah.


"Selama ini kita (BN Terengganu) telah mengambil alih tugas wakil rakyat PAS dalam menyelesaikan masalah harian mereka (rakyat) dan kali ini biarlah rakyat di kawasan itu mengadu kepada wakil rakyat mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Menteri Besar dan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu di Istana Maziah di Kuala Terengganu, semalam.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, mengetuai majlis mengangkat sumpah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco) di Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu itu dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan.

Sebelum itu, Ahmad Said yang selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, turut mempengerusikan Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum dan Sumber Asli, Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Datuk Mohd Jidin Shafei (Adun Permaisuri) pula dilantik sebagai Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, diikuti Datuk Ahmad Razif Abd Rahman (Adun Seberang Takir) selaku Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air.

Manakala Adun Telemong, Rozi Mamat pula mengetuai Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia dan Dr A Rahman Mokhtar (Adun Kuala Besut) memegang Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Lain-lain, Ir. Rosli Othman (Kemasek) dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan; Nawi Mohamad (Hulu Besut) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan & Komoditi dan  A Latiff Awang pula Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian, Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat.

Sementara Roslee Daud memegang portfolio Usahawan, Pembangunan Luar Bandar,Kepenggunaan dan Koperasi dan terakhir Ghazali Taib mengetuai Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas.

Ahmad Said berkata BN Terengganu akan terus melaksanakan agenda pembangunan seperti yang dilakarkan dalam Aku Janji BN negeri.

"Pembangunan akan diteruskan seperti yang telah dijanjikan, namun pembinaan rumah mampu milik tidak akan dibina di kawasan DUN yang kita (BN) kalah, kita akan bina di kawasan yang dimenangi BN," katanya.


Antara Aku Janji tambahan BN Terengganu pada pilihan raya lalu ialah menarik pelaburan lebih RM25 bilion dalam industri petrokimia, bioteknologi dan keluli dengan lebih 10,000 peluang pekerjaan, menaik taraf Institut Al Quran Terengganu sebagai sebuah kolej universiti dan menjadikan Tasik Kenyir sebagai Hab Ekopelancongan dan kawasan bebas cukai.

 Ahad lalu BN Terengganu mengekalkan mandat pemerintahan di negeri itu apabila memenangi 17 kerusi DUN manakala PAS (14) dan PKR (satu). Daripada lapan kawasan Parlimen, BN menang di Besut, Setiu, Kemaman dan Hulu Terengganu manakala PAS menang di Dungun, Kuala Nerus, Marang dan Kuala Terengganu.

1 comment:

  1. setuju dengan saranan MB dan harus diikuti di negeri-negeri lain..utamakan mereka yang menyokong bn kerana mereka-mereka ini tahu membalas budi..bagi ahli2 bn atau penyokong di kaawasan bn kalah boleh terus berurusan dipejabat MB agar kebajikan mereka terbela...

    ReplyDelete