Monday, May 20, 2013

Perpustakaan Awam Terengganu Akan Perkenal Program E-Book

Dalam usaha menggalakkan budaya membaca di kalangan orang ramai, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) akan memperkenalkan program e-Book bagi membolehkan mereka membuat pinjaman buku melalui talian.

Pengarah PPAT Nor Akmal Abdul Fatah berkata program itu akan diperkenalkan mulai Julai ini.
"Program itu kini dalam proses penyediaan dan dengan adanya kemudahan itu kelak, pembaca boleh membuat pinjaman menerusi dalam talian tanpa perlu ke perpustakaan untuk meminjam buku.

"Kaedah itu diperkenalkan sejajar dengan perkembangan semasa untuk kemudahan ahli di samping meningkatkan minat membaca di kalangan masyarakat," katanyadi Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata pada masa ini 87 judul buku pelbagai jurnal termasuk buku untuk kanak-kanak telah diprogramkan dalam e-book dan akan dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Sejajar dengan perkembangan itu katanya, mereka yang belum menjadi ahli boleh juga mendaftar keahlian secara dalam talian tanpa perlu hadir ke perpustakaan.

Pada masa ini, PPAT mempunyai kira-kira 400,000 ahli di seluruh negeri melibatkan perpustakaan negeri, daerah dan 90 perpustakaan desa, katanya.

Beliau berkata pada tahun ini PPAT mendapat peruntukan kira-kira RM2 juta untuk menyediakan bahan bacaan dan meningkatkan kemudahan di perpustakaan.

No comments:

Post a Comment