Friday, May 24, 2013

Persatuan Pelancongan Terengganu Saran Pasar Payang Tidak Diroboh


Kerajaan negeri Terengganu disaran mempertimbang semula rancangan merobohkan Pasar Besar Kedai Payang untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah hotel.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu Wan Supian Wan Ishak berkata ini kerana Pasar Besar Kedai Payang merupakan bangunan ikon dan warisan negeri.

"Kalau kerajaan negeri roboh bangunan itu, bermakna hilanglah sebuah bangunan warisan. Kerajaan tidak perlu roboh Pasar Payang.

"Kerajaan mempunyai banyak lagi pilihan seperti kawasan tambakan di Kampung Seberang Takir seluas 140 hektar di mana kerajaan boleh bina hotel bertingkat-tingkat di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung kali ke-24/2013 Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam yang disempurnakan Pengarah Pelancongan Terengganu Mohd Sabri Zakaria.

Wan Supian berkata adalah lebih baik sekiranya kerajaan mengeluarkan peruntukan membaiki atau membaikpulih ikon negeri itu tanpa menjejaskan konsep asal. Pasar Payang merupakan satu daripada destinasi yang mendapat perhatian pelancong yang berkunjung ke negeri ini, katanya.

Beliau berkata keadaan fikizal Pasar Payang pada umumnya masih lagi baik dan tahan, kecuali struktur di bahagian menjual ikan yang didapati tidak selamat dan perlu diperbaiki.

"Kami berpendapat kawasan itu boleh dibaiki atau dibuat tapak baharu supaya selamat," katanya.

No comments:

Post a Comment