Tuesday, May 28, 2013

Piala FA - Bukan Misi Mustahil Kejutkan Kelantan


Walaupun Kelantan sudah memasang angan-angan untuk bertemu Johor DT pada final Piala FA, namun Terengganu tetap yakin untuk bangkit.

Tiada perkara mustahil dalam bolasepak. Ketinggalan tiga gol selepas tewas 1-4 kepada seteru Pantai Timur, Kelantan tidak melemahkan semangat Terengganu.

Penggendali Skuad Penyu. E. Elavarasan enggan mengalah dan masih menaruh harapan dengan peluang berbaki 90 minit lagi untuk anak-anak buahnya membuat kejutan yang diharapkannya apabila menerima kunjungan lawan yang sama dalam pertembungan kedua petang ini.

Dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA tempoh hari Terengganu dilihat berada dalam keadaan sukar untuk melangkah ke final.

Menurut Elavarasan, misi untuk mengubah defisit tiga gol yang dimiliki lawan bukan sesuatu yang mustahil andai para pemainnya berjuang bermati-matian dalam perlawanan itu nanti.

"Saya akui kelebihan memang berpihak kepada Kelantan ketika ini. Bagaimanapun, dalam bola sepak apa sahaja boleh terjadi.

Yang penting ialah para pemain saya tidak boleh lagi hilang fokus terutamanya pada minit-minit akhir perlawanan," katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Jelas Elavarasan, buat masa ini, beliau masih belum terfikir untuk mengubah barisan kesebelasan utamanya seperti yang diturunkan di Kota Bharu, Sabtu lalu.

"Perancangan saya (menentang Kelantan) nanti mungkin lebih kurang sama dan saya tengah berusaha untuk memantapkan jentera di segenap posisi sebelum kembali berhadapan dengan Kelantan.

"Tapi, apa pun, saya masih belum membuat sebarang keputusan kerana mahu menilai prestasi semasa pemain-pemain saya," katanya yang turut merujuk kepada masalah kecederaan yang masih menghantui penyerang import, Jean-Emmanuel Effa Owona.

Tambahnya, pelawat pasti akan turun dengan semangat yang tinggi selepas menang selesa tempoh hari dan Elavarasan tidak mahu sebarang kelekaan menghancurkan sisa-sisa harapan Terengganu untuk mara ke final nanti.

"Yang penting, kita jangan biar mereka menjaringkan gol awal kerana gol tersebut pastinya akan mematikan semangat para pemain untuk memburu sebanyak gol yang mungkin," katanya.

No comments:

Post a Comment