Wednesday, May 29, 2013

Polis Buru 4 Lelaki Kes Tetak, Ikat Dan Tembak


Polis Terengganu kini melancarkan gerakan mengesan empat lelaki termasuk pasangan adik-beradik yang dipercayai dapat membantu dalam kes menetak, mengikat dan menembak seorang pekerja kontrak Petronas di Dungun pada 16 Mei lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata pihaknya sudah mengenal pasti keempat-empat lelaki yang berasal dari Dungun dan Besut.

 Katanya lelaki yang dicari ialah Mohd Rozi Samsudin, 25; Zukipeli Samsudin, 29; Mohd Irwan Kathir Sultan, 23; yang masing-masing berasal dari Kampung Alor Mak Bah, Dungun serta Mohd Imran Mustapa, 24, berasal dari Kampung Pengkalan Nyireh, Besut.

"Kita meminta bantuan daripada rakan-rakan lelaki berkenaan dan ahli keluarga mereka sekiranya ada maklumat, supaya tampil di balai polis berdekatan," katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, semalam.

Manoharan berkata siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah. 

Dalam insiden itu, mangsa yang berusia 27 tahun itu cedera di belakang badan, kaki dan dada setelah dilibas, dipukul dan ditembak menggunakan senapang angin.

Perbalahan berpunca daripada masalah hutang rakan mangsa berkaitan urusan jual beli dadah, setelah rakan itu gagal dikesan kumpulan berkenaan.

Manoharan berkata mangsa yang merupakan penduduk tempatan kini semakin pulih dan telah keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Khamis lalu.

 Siasatan mendapati mangsa dicederakan dengan menggunakan badik, parang, pisau rambo dan senapang angin berdasarkan kecederaan yang dialami.

No comments:

Post a Comment