Thursday, May 30, 2013

Polis Cari Dua Beradik Bantu kes Cubaan Bunuh di Pulau Serai


Dua beradik antara empat lelaki dicari polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian cubaan membunuh seorang buruh di Kampung Batu Putih, Pulau Serai, Dungun, pada 16 Mei lalu.

Mereka ialah Zukipeli Samsudin, 29, dan adiknya Mohd Rozi Samsudin, 25, dari Kampung Alor Mak Bah, Dungun, manakala dua lagi rakan mereka, Mohd Irwan Kathir Sultan, 23, dari kampung sama serta Mohd Imran Mustafa, 24, dari Rumah Awam Kos Rendah, Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, Besut, dipercayai masih berada di dalam negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, orang awam yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai mereka diminta tampil ke balai polis berhampiran.

“Ibu bapa semua lelaki terbabit dan ahli keluarga terdekat diharap dapat membantu pihak polis dengan memberi maklumat terkini kerana kami yakin, mereka semua masih ada di dalam kawasan ini (sekitar negeri ini).

“Ini kerana kes dilakukan mereka yang turut memiliki rekod jenayah lampau kesalahan dadah adalah kes sangat serius kerana melibatkan nyawa,” katanya pada sidang media, semalam.

 Dalam kejadian berkenaan, mangsa berusia 27 tahun cedera akibat dilibas parang, dibelasah dengan teruk dan ditembak menggunakan senapang angin. Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan keluar dari wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, pada 23 Mei lalu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang buruh berdepan detik cemas apabila dibuang ke dalam semak dengan kedua-dua tangan diikat dan mulutnya disumbat dengan kain selepas dilibas parang serta ditembak. 

Mangsa dari Kampung Tanjung Pagar, Dungun, bertarung nyawa selama hampir tujuh jam sebelum berjaya menyelamatkan dirinya dengan bantuan orang kampung di kawasan berkenaan.

Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati disebabkan hutang dalam urusan jual beli dadah dengan dua rakan mangsa.

No comments:

Post a Comment