Sunday, May 12, 2013

Terengganu Catat Purata 70 Kes Baharu Pesakit Buah Pinggang Seminggu

Jabatan Kesihatan Terengganu mencatatkan secara purata 70 kes baharu pesakit buah pinggang setiap minggu yang melibatkan pelbagai peringkat usia.

Bagaimanapun, menurut Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam) Dr Mohd Jusoh, mereka yang berusia 40 tahun ke atas paling ramai dikesan menghidap penyakit itu.

Antara penyumbang utama kepada penyakit buah pinggang ialah kencing manis dan darah tinggi, katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat Terengganu, di Kuala Terengganu, semalam.

Menurut Dr Mohd, ramai pesakit tidak sedar mereka menghidap penyakit buah pinggang kerana tidak mengalami gejala awal.

Justeru, kaedah terbaik bagi mengesan penyakit ini dari awal ialah menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun, katanya.

Beliau berkata di Terengganu, sebanyak 55,630 pesakit menjalani rawatan hemodialisis pada 2011 dan meningkat kepada 65,129 pada tahun lepas.

Jumlah pesakit yang menggunakan 'Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) bagi 2011 pula ialah 141 orang dan meningkat kepada 215 pada tahun lepas, manakala setakat April tahun ini sebanyak 226 pesakit direkodkan, katanya.

Katanya pelbagai usaha dilaksana Kementerian Kesihatan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung "penyakit senyap" itu.

"Melalui sambutan hari buah pinggang serta pameran yang diadakan kita dapat memberi penerangan serta kesedaran kepada orang ramai tentang penyakit buah pinggang," katanya.

No comments:

Post a Comment