Orang ramai berpeluang mengenali lebih dekat seni kraf yang terdapat di negeri ini sempena pameran Minggu Seni Kraf Warisan Terengganu 2013 anjuran Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDRSM) bermula semalam sehingga 30 Mei.
Pengurus Galeri Seni Kraf YDRSM Rose Hasyimah Taha berkata lima seni kraf utama dipamerkan iaitu seni ukir kayu, seni ukir tembaga, seni blok batik, seni pembuatan senjata, seni membuat replika perahu dan bot tradisional Terengganu.
"Kita melantik mentor setiap seni berkenaan untuk menjadi tenaga pengajar kepada pelatih yang berminat mempelajari bidang seni itu selama 18 bulan," katanya sempena pameran itu yang diadakan di Hotel Prinzpark di Kuala Terengganu.
Katanya bagi seni ukir kayu dan tembaga, YDRSM telah mengambil tenaga pengajar dan pelatih sejak 2008 manakala bagi seni pembuatan senjata, blok batik, membuat replika perahu dan bot tradisional, bermula sejak tahun lepas.
Beliau berkata YDRSM juga mempunyai galerinya sendiri bertempat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.
Mentor seni membuat replika perahu dan bot tradisional Terengganu Wan Nordin Wan Abdullah, 58, berkata penganjuran minggu seni itu adalah baik kerana ia dapat mendedahkan seni ukir tradisional Terengganu yang kini kebanyakannya sudah pupus.
Beliau berpengalaman luas dalam bidang pelayaran kerana sebelum menjadi pembuat replika perahu dan pelbagai bot tradisional Terengganu, Wan Nordin merupakan tukang membuat kapal layar yang berpusat di Pulau Duyong.
"Semasa tahun 80-an, saya menjadi tukang perahu dan kapal layar di Pulau Duyong yang ketika itu ramai orang putih (orang Eropah) datang menempahnya dan selepas kapal layar siap, saya turut dibawa belayar ke Indonesia, Thailand atau Singapura.
"Saya juga turut terlibat dengan kejohanan Piala Monsun di Pulau Duyong apabila bekerja dengan T-Best management yang mengendalikan kejohanan itu setiap tahun," katanya yang mempunyai galeri replika pelbagai bot dan perahu bertempat di Pulau Duyong.
Sementara itu seorang pelatih dalam bidang seni kraf tembaga Norain Zaito, 22, ketika ditemui berkata program itu adalah sesuatu yang bagus kerana ia dapat mendedahkan orang ramai kepada seni kraf tembaga.
"Saya sudah belajar di YDRSM sejak tahun lalu dikendalikan (mentor) Wan Mahadi Wan Ismail, antara yang saya buat di sini seperti tepak sirih, replika keris dan pelbagai 'key chain' (rantai kunci) daripada tembaga," katanya.
No comments:
Post a Comment