Friday, June 14, 2013

10 Buah Rumah Bekas Tentera Dibaik Pulih

Seramai 40 ahli Srikandi Negeri Kelantan bergambar bersama ketika mengadakan lawatan ke pejabat PBTM Negeri Terengganu di Wisma Pahlawan.


Sebanyak sembilan buah rumah dibina baru dan 10 buah rumah dibaik pulih pihak kerajaan kepada bekas anggota tentera di Terengganu di bawah Program Membaiki Rumah, Strategi Lautan Biru (NBOS) Ke-7 pada tahun ini.

Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Terengganu, Abdullah Che Muda, 64, berkata, dia difahamkan rumah bina baru dan dibaik pulih tersebut dipilih daripada keseluruhan 200 rumah bakal dibina dan dibaik pulih seluruh negara.
“Bagaimanapun, kita masih belum membuat pemilihan rumah bekas anggota tentera untuk dibina baru dan dibaiki dan kita akan menyerahkan kepada peringkat cawangan untuk membuat pemilihan,” katanya kepada semalam.

Terdahulu, PBTM Negeri Terengganu menerima lawatan muhibah 40 ahli Srikandi Negeri Kelantan ke PBTM Negeri Terengganu di Wisma Pahlawan.

Hadir sama dan menyambut ketibaan pelawat, Naib Yang Dipertua (1), PBTM Negeri Terengganu, Kassim Muda.

Dalam pada itu, Abdullah meminta kira-kira 1,000 balu bekas tentera di negeri ini supaya mendaftar dengan PBTM bagi memudahkan pemberian bantuan kepada mereka.

“Setakat ini, lebih 200 balu telah menghantar dan mendaftar permohonan dengan persatuan dan kita masih mengesan baki selebihnya bagi memudahkan sebarang urusan berkaitan pemberian bantuan kepada mereka di setiap cawangan,” katanya.

Antara kemudahan yang diberi kepada balu bekas tentera termasuklah Bantuan Sara Hidup antara RM100 hingga RM300 sebulan, Bantuan Persekolahan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam, Politeknik, Bantuan Peralatan Pesakit dan Bencana Alam sebanyak RM5,000.

No comments:

Post a Comment