Friday, June 14, 2013
Murid Hidap Penyakit Sendi Lembik Dapat Bantuan Kerusi Roda
Seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit sendi lembek Rabu mendapat perhatian kerajaan negeri Terengganu yang menghulurkan bantuan kerusi roda bagi memudahkannya bergerak terutama semasa di sekolah.
Nur Fatihah Abdul Karim, 12, murid Sekolah Kebangsaan Bukit Payung di Marang, menghidap penyakit itu sejak dilahirkan.
"Saya sungguh gembira mendapat kerusi roda baharu yang diberi kerajaan hari ini. Dengan kerusi ini bolehlah saya bergerak dengan lebih selesa kerana ia automatik," katanya kepada pemberita ketika menerima kerusi roda yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Nur Fatihah, anak sulung dari empat beradik yang meminati Bahasa Inggeris dan bercita-cita menjadi guru, berkata, penyakit yang dialaminya menyebabkannya lumpuh kedua-dua belah kaki serta tangan yang memerlukan bantuan orang lain untuk bergerak.
Bapa kanak-kanak itu, Abdul Karim Abdullah, 40, yang menemani anaknya menerima bantuan itu, berkata setiap hari beliau menghantar anaknya ke sekolah pada 6.30 pagi sebelum memulakan perniagaan menjual ikan di pasar-pasar minggu.
Beliau berkata sebelum ini anaknya sudah mempunyai kerusi roda biasa yang diperoleh melalui bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain RM300 sebulan untuk membeli lampin pakai buang.
"Saya bersyukur mendapat bantuan ini kerana saya yang bekerja menjual ikan dengan pendapatan yang tidak menentu, tak mampu untuk membelinya sendiri," katanya.
Ahmad Said pula ketika ditemui berkata pemberian bantuan kerusi roda bernilai RM5,000 itu adalah di bawah peruntukan Tabung Penyakit Kronik Kerajaan Terengganu.
Beliau berkata di bawah tabung itu, kerajaan negeri menyediakan RM10 juta setahun untuk membantu rakyat yang menghidap penyakit jantung, buah pinggang, kanser dan penyakit kronik lain.
Sebanyak RM2.5 juta lagi bagi membantu rakyat negeri ini yang memerlukan bantuan seperti kaki palsu, lampin pakai buang, susu dan sebagainya, katanya.
No comments:
Post a Comment