Thursday, June 27, 2013

13 Pelajar TESDEC Bakal Jadi Tenaga Mahir Dalam Bidang Kimpalan Bawah Air


Kecemerlangan 13 pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) yang kini mengikuti kursus Kimpalan Bawah Air di Perth Australia membuktikan kejayaan pusat kemahiran itu melahirkan tenaga mahir dalam bidang teknikal bagi industri minyak dan gas.

Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec Mohd Mahdi Musa berkata kesemua pelajar dari Terengganu itu menjalani kursus tiga bulan termasuk dua bulan bagi tahap satu dan dua di Tesdec dan bulan terakhir iaitu tahap tiga di Australia.

"Pencapaian ini sangat membanggakan Tesdec kerana pekerja mahir dalam sektor ini bukan sahaja dibayar gaji mengikut hari atau bulan malah juga dibayar berdasarkan jam bekerja.

"Pengimpal Bawah Air sememangnya satu pekerjaan yang mempunyai masa depan yang sangat terjamin dan memang diperlukan dunia ketika ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Kepada Lembaga Pengarah Tesdec di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyung kelmarin.

Mohd Mahdi berkata pembiayaan kursus yang mendapat pengiktirafan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) itu ialah RM55,000 untuk setiap pelajar dan dibiayai Tabung Pembangunan Kemahiran.

"Kejayaan pelatih dari Tesdec menempatkan diri dalam pasaran kerja di peringkat global itu mula membuka mata ramai pihak untuk mengiktiraf pusat kemahiran yang sehingga kini telah melahirkan 30,000 tenaga kerja dalam pelbagai bidang kemahiran," katanya.

 Selain kursus Kimpalan Bawah Air, Tesdec adalah satu-satunya pusat kemahiran di negara ini dan Asia yang menawarkan kursus Selaman Laut Dalam dengan kerjasama Skim Akreditasi Menyelam Australia (Adas), yang turut mendapat pengiktirafan CIDB.

No comments:

Post a Comment