Thursday, June 27, 2013

Speaker Akan Maklumkan Kekosongan Kerusi DUN Kuala Besut Kepada SPR Hari Ini

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Mohd Zubir Embong akan menghantar surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kuala Besut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok, untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata kekosongan kerusi itu berlaku berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar, 55, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada pukul 10.18 semalam,  akibat kanser paru-paru.

"Esok (hari ini) saya akan menyerahkan surat warta kekosongan kepada SPR Terengganu untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan dalam tempoh 60 hari selepas ia diwartakan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.

Dr A.Rahman yang merupakan Pengerusi Pembangunan Kesihatan, Wanita dan Masyarakat negeri dimasukkan ke HSNZ sejak Khamis lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas, A. Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon PAS Napisah Ismail.

Kematian Adun Kuala Besut itu bakal menyaksikan pilihan raya kecil yang pertama selepas PRU13.

Pada pilihan raya umum lepas Barisan Nasional (BN) Terengganu dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 daripada 32 kerusi dewan undangan negeri yang dipertandingkan.

Di Putrajaya, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut selepas menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi itu.

Wan Ahmad berkata setakat ini SPR belum menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN dan menjangkakan ia akan diterima dalam tempoh terdekat.

"Selepas itu SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi bila mesyuarat khas akan diadakan.

Mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri, Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan," katanya.

No comments:

Post a Comment