Sunday, June 16, 2013

200 Buru Naga Merah Di Tasik Kenyir


Berbekalkan kemahiran memancing dan sedikit tuah, kira-kira 200 peserta menjayakan Ekspedisi Memancing Sambil Santai, Boat On The Road (BOTR) 2013 bagi melakar sejarah menawan gergasi Tasik Kenyir.

Program yang bermula Jumaat hingga malam semalam di Hulu Terengganu itu, turut menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM20,000 kepada pemancing yang berjaya melakukannya selain hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM75,300.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata penantian selama tiga tahun untuk menyaksikan pemancing menjinakkan Arapaima Gigas atau Naga Merah di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara menjadi misi utama BOTR kali ini.

Justeru katanya, acara sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 itu bertujuan mempromosikan kepelbagaian pusat tumpuan pelancongan selain keindahan flora dan fauna serta keunikan hasil kraf tangan seperti songket di negeri ini.

Penyertaan edisi keempat BOTR ini mendapat sambutan memberangsangkan dan ia diharap mampu menarik lebih ramai pemancing dalam dan luar negara pada penganjurannya tahun depan. Ganjaran lumayan Bagi merealisasikan matlamat ini, ganjaran lebih lumayan akan ditawarkan untuk mempromosikan acara tahunan ini, katanya di Sri Pentas, Bandar Utama, kelmarin.

Beliau kemudian menyempurnakan majlis pelepasan konvoi 20 kereta pacuan empat roda dari pekarangan Sri Pentas, Bandar Utama, yang mengembara dengan bot gentian kaca atau aluminium di atas kenderaan masing-masing sejauh 493 kilometer ke Tasik Kenyir.

No comments:

Post a Comment