Sunday, June 9, 2013

39 Anggota Polis Terengganu Mangsa Banjir Tahun Lepas Terima Bantuan


Seramai 39 anggota dan pegawai polis Terengganu yang menjadi mangsa banjir semasa musim tengkujuh tahun lepas menerima bantuan kewangan sebanyak RM26,400 daripada Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia Bukit Aman bertujuan meringankan beban mereka dalam menghadapi bencana banjir itu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata setiap anggota dan pegawai itu menerima bantuan minimum RM300 sehingga RM2,000 bergantung pada tahap kerosakan rumah masing-masing.

Beliau berharap sumbangan itu dapat mengubati kesedihan anggota dan pegawai polis yang begitu komited bertugas sepanjang berlakunya bencana banjir itu meskipun rumah mereka turut dinaiki air.

"Saya juga berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua anggota polis di seluruh Terengganu sepanjang bencana banjir melanda negeri ini tahun lalu dan berharap mereka yang menjadi mangsa banjir akan terus cemerlang dalam menjalankan tugas dalam suasana kritikal seperti itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan itu di Majlis Perbandaran Kemaman semalam yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Che Suza Che Hitam.

Daripada jumlah itu, seramai 26 penerima adalah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, empat anggota dari Dungun, tiga anggota dari Setiu, lima anggota dari IPD Kuala Terengganu dan seorang dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu.

Sementara itu, seorang mangsa banjir, Sarjan Shaari Ahmad, 46, berkata beliau terharu dengan bantuan RM2,000 yang diterimanya kerana dapat meringankan beban kewangannya dalam membeli pelbagai barangan keperluan.

Katanya ketika kejadian itu, beliau bertugas menyelamat mangsa banjir di Seberang Tayor dan Air Putih dan hanya kembali ke rumah di Taman Pandan Sejahtera keesokan harinya namun pasrah mendapati rumahnya ditenggelami air paras paha.

"Kejadian itu bagaimanapun tidak menjejaskan semangat saya untuk terus berkhidmat ketika waktu bencana banjir dan bantuan ini juga menaikkan semangat saya untuk terus melakukan yang terbaik kepada masyarakat," katanya yang pertama kali menjadi mangsa banjir sepanjang tinggal di Kemaman.

No comments:

Post a Comment