Sunday, June 9, 2013

Polis Pengiring Hanya Disediakan Bagi Perlumbaan Besar Sukan Berbasikal

Imbas kembali....kemalangan membabitkan Mohd Shafik
Polis Terengganu hanya memantau keselamatan pelumba basikal dengan menyediakan polis pengiring apabila mereka menyertai perlumbaan besar sukan itu, namun bagi sesi latihan, aspek keselamatan perlu diberi penekanan oleh persatuan basikal itu sendiri.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata kesemua anggota dan pegawai polis di negeri itu perlu mengutamakan fokus terhadap penugasan yang lebih utama untuk mencegah jenayah terlebih dahulu berbanding tugas sampingan yang lain.

"Penekanan aspek keselamatan ini penting bagi mengelak kejadian tidak diingini yang menimpa pelatih skuad projek pelapis lumba basikal Terengganu, Mohd Shafik Imran Syahril, daripada berulang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan banjir kepada anggota polis yang menjadi mangsa bencana itu pada tahun lalu dalam satu majlis di sini. Rabu lepas, Mohd Shafik, 15, atlet lumba basikal dari Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas terlibat dalam kemalangan setelah terjatuh melanggar lubang sebelum dilanggar sebuah lori dari arah bertentangan di jambatan Kampung Bukit Guntung, Tepoh, Kuala Terengganu.

Mangsa meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di perut manakala dua lagi rakannya hanya cedera ringan dalam kejadian pada 9.30 pagi.

Jamshah berkata pengguna jalan raya juga perlu lebih berhati-hati sekiranya berdepan dengan kumpulan atlet terutama melibatkan atlet sukan berbasikal yang sedang menjalani latihan.

Mengulas mengenai keghairahan remaja di Terengganu dalam aktiviti berbasikal, Jamshah berkata mereka perlu memilih laluan yang selamat, tidak bersendirian dan memakai baju atau jaket pantul cahaya untuk tujuan keselamatan.

"Kadang-kadang kita sebagai pemandu jalan raya risau lihat, ramai yang berbasikal ini mengabaikan aspek keselamatan ini hingga mengundang kemalangan sedangkan ia boleh dielak oleh individu itu sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment