Monday, June 10, 2013

Anggota UMNO Digesa Terus Sokong Najib


Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa semua anggota Umno supaya terus menyokong kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak jika jawatan tertinggi Umno itu dipertandingkan dalam pemilihan tahun ini.

Menurutnya, ini kerana di bawah kepimpinan Najib, Umno terbukti terus menjadi pilihan rakyat apabila parti itu memenangi 88 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dan menjadi parti yang mendapat sokongan tertinggi berbanding parti lain.

Ahmad Shabery, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata prestasi Umno dalam PRU13 amat membanggakan yang mana kemenangan 88 kerusi itu begitu hampir dengan gabungan ketiga-tiga parti pakatan pembangkang dengan 89 kerusi.

"Datuk Seri Najib juga mendapat sokongan ramai pengundi Melayu di bandar walaupun ramai yang mendakwa Melayu bandar tidak lagi menyokong Umno seperti digembar-gemburkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan rakyat di Felda Neram Satu di Kemaman, semalam.

Ahmad Shabery yang juga anggota Parlimen Kemaman berkata, Najib sendiri telah melakukan pelbagai transformasi dalam sistem pemilihan Umno yang menjadikan demokrasi terus subur dalam parti itu.

No comments:

Post a Comment