Monday, June 10, 2013

Seniwati Latifah Omar Meninggal Dunia


Seniwati Latifah Omar disahkan meninggal dunia di Pusat Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada petang Ahad. Anak Allahyarhamah, Affendi Rahmat memberitahu ibunya meninggal dunia kira-kira pukul 6.19 petang.

"Mak (Latifah) meninggal dunia jam 6.19 petang, jenazah akan dibawa balik ke Keramat (Kuala Lumpur) dan dikebumikan pada esok ini," katanya kepada mStar Online menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), di Kuala Lumpur, semalam.

Allahyarhamah yang berusia 72 tahun dimasukkan ke PPUKM seminggu lalu akibat kanser ulser usus.
Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Al-Khairiah AU3, Taman Keramat di Kuala Lumpur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Taman Keramat, Kuala Lumpur kira-kira pukul 11 pagi ini.

Latifah yang sering digandingkan dengan Nordin Ahmad membintangi sebanyak 23 filem antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Jebat, Jalak Lenteng, Laila Majnun, Putus Sudah Kasih Sayang, Gurindam Jiwa, Che Mamat Parang Tumpul dan terakhir Hati Batu pada 1973.

Pada Selasa lalu, rakan seangkatan Allahyarhamah iaitu S.Shamsuddin meninggal dunia di Singapura akibat sakit tua dan paru-paru berair.

Nama asalnya, Sahamsudin Dali terkenal sehingga melewati eranya. Individu yang dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura pada 1 Januari 1929 itu telah selamat kembali ke rahmatullah setelah menghiburkan peminatnya di seluruh Tanah Malaya, sama seperti yang dilakukan rakan karibnya, seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Shamsuddin meninggal dunia pada pukul 10.56 pagi semalam bertempat di kediamannya beralamat di Bukit Batok Avenue, Jurong, Singapura selepas ditemui tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Alexandra, Singapura.

Allahyarham dipercayai meninggal dunia disebabkan sakit tua dan masalah paru-paru berair yang dihidapinya.

Seniman veteran itu telah memainkan peranan yang besar dalam perkembangan industri seni dan hiburan tempatan, apatah lagi apabila filem-filem lakonan Allahyarham terus mendapat tempat di hati masyarakat generasi muda.

No comments:

Post a Comment