Wednesday, June 12, 2013

Azizul Gembira Walaupun Belum Capai Prestasi Terbaik


Pelumba berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang gembira beliau mampu memberi saingan walaupun belum mencapai prestasi terbaik.

"Saya datang ke kejohanan ini (Siri Grand Prix Asia Tenggara) semata-mata untuk latihan. Saya tahu kejohanan ini saingannya agak kuat juga khususnya daripada pelumba-pelumba Australia, jadi saya tak mahu lepas peluang untuk mencuba.

"Saya pun baru tiba dari Australia semalam sebab baru sahaja selesai peperiksaan universiti. Sebab itu juga saya hanya sertai satu sahaja acara di sini," katanya ketika ditemui pemberita.



Pada acara keirin lelaki elit Siri Kedua Grand Prix Trek Asia Tenggara di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras itu, Mohd Azizulhasni meraih pingat gangsa dengan catatan masa 10.893 saat. Pingat emas dan perak masing-masing menjadi milik pelumba dari Australia, Scott Sunderland dan Peter Lewis.

Sunderland yang mewakili Jayco Team mencatat masa 10.674s manakala Lewis daripada pasukan kebangsaan Australia mencatat masa 10.806s.

Tumpuan Mohd Azizulhasni selepas ini ialah Grand Prix Jerman minggu hadapan. "Bagaimanapun saya akan menyertai Kejohanan Trek Kebangsaan yang bermula Rabu ini di sini sebelum ke Jerman. Saya akan mewakili Terengganu," katanya.


No comments:

Post a Comment