Tuesday, June 18, 2013

Bomba Terengganu Ingatkan Orang Ramai Tidak Lakukan Pembakaran Terbuka

Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka ketika musim kemarau sepanjang Mei hingga Julai ini.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Terengganu Rozizah Ibni Hajar berkata faktor cuaca kering dan berangin sekarang ini boleh menyebabkan pembakaran kecil mudah marak dan merebak ke kawasan lain. 

"Kita mengingatkan supaya orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim kering ketika ini bagi mengelak sebarang kemungkinan kebakaran yang tidak terkawal...terutama di kawasan tanah gambut," katanya semalam.

Menurutnya sejak dua minggu pertama bulan ini, lebih 37 panggilan kebakaran diterima oleh setiap Balai Bomba dan Penyelamat daerah di negeri ini.

Rozizah berkata walaupun kebanyakan panggilan itu lebih kepada kebakaran sampah, belukar dan lalang namun pihaknya bimbang ia boleh menyebabkan kebakaran yang lebih besar selain menjadi punca keadaan jerebu di negeri ini.

Pada pertengahn Mei lepas, katanya anggota bomba berhempas pulas memadam kebakaran hutan dan belukar membabitkan kawasan lebih 40 hektar di kawasan Kuala Abang yang dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran sampah secara terbuka.

 Semalam akhbar melaporkan enam kawasan termasuk di Melaka dan Terengganu mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat. Bacaan IPU paling tinggi dicatat di Bandaraya Melaka (129) manakala Kemaman (101).

No comments:

Post a Comment