Wednesday, June 26, 2013

E-Learning Khas Untuk Pelajar SPM Dan STPM

Kerajaan Terengganu akan memperkenalkan formula pembelajaran e-learning khusus untuk pelajar tingkatan lima dan enam di negeri ini sebagai persiapan menghadapi peperiksaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata modul itu dijangka mula dilaksanakan tahun depan untuk keperluan pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Buat masa ini kami berkerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dalam peringkat perbincangan untuk pelaksanaannya. Sekarang kita masih dalam peringkat kajian bagi melaksanakan modul baharu itu (e-learning).

"Kami perlukan masa untuk memastikan ia adalah yang terbaik dan sesuai dengan kemampuan untuk melaksanakan sesuatu kaedah baharu dalam membangunkan bidang pendidikan di Terengganu," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Jasamu Dikenang dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu 2013 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Pengarah Pendidikan negeri Zakaria Hussin.

Seramai 97 guru dan warga JPNT menerima anugerah perkhidmatan cemerlang manakala 186 guru yang telah dan bakal bersara turut diraikan.

Ghazali berkata pelaksanaan modul e-learning itu yang masih berteraskan kurikulum dan kokurikulum yang ditetapkan Kementerian Pendidikan akan memudahkan proses pembelajaran untuk dimanfaat pelajar terlibat.

Beliau berkata dengan adanya sistem e-learning, pelajar khususnya mereka yang bakal menduduki SPM dan STPM boleh melayari internet mengikuti pembelajaran yang disediakan jabatan pelajaran negeri.

Kerajaan negeri sentiasa mengeluarkan peruntukan besar bagi memastikan bidang pendidikan terus berkembang sejajar dengan hasrat Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu, katanya.

No comments:

Post a Comment