Wednesday, June 26, 2013

Agong Minta Pembangkang Terima Keputusan PRU13


Semua pihak harus menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada perasmian Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-13.

Seri Paduka bertitah ini kerana PRU13 telah diadakan mengikut lunas-lunas sistem demokrasi. Kesemua 222 anggota parlimen hadir pada majlis tersebut termasuk kesemua 89 anggota pembangkang yang turut mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat semalam.

Anggota pembangkang sebelum ini mengancam untuk memboikot acara berkenaan kerana membantah keputusan PRU13 atas alasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dan bebas serta berlaku curang. Seri Paduka turut mengingatkan semua anggota parlimen supaya tidak mengambil tindakan yang boleh menjurus kepada kemusnahan negara kerana ia membawa implikasi amat besar terhadap masa depan tanah air.

Seri Paduka bertitah sebuah negara yang tersungkur akibat sesuatu masalah mungkin mengambil masa yang panjang untuk pulih.

"Sebuah negara yang musnah akibat persengketaan atau mengalami kejatuhan ekonomi belum tentu dapat bangkit semula dalam tempoh yang singkat," titah Tuanku Abdul Halim.

Seri Paduka menggesa semua anggota parlimen supaya merapatkan saf, berganding bahu membangun dan memajukan negara.

"Beta ingin mengingatkan ahli-ahli Yang Berhormat sebagai ahli Dewan yang mulia ini agar menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara serta sentiasa memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan," titah Seri Paduka seperti mana yang dilafazkan oleh anggota parlimen ketika mengangkat sumpah sebagai anggota dewan tersebut semalam.

Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan anggota parlimen supaya bersama-sama memikul amanah rakyat yang inginkan kestabilan dan kemakmuran negara berkekalan.

Dengan ini, titah Seri Paduka, kesejahteraan hidup terus meningkat, serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama semakin kukuh.

Yang di-Pertuan Agong berharap rakyat bekerjasama dengan kerajaan bagi membolehkan negara melangkah ke depan untuk mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. 

Komitmen kerajaan dalam merealisasikan agenda transformasi nasional akan memanfaatkan segenap lapisan masyarakat baik dari segi ekonomi, sosial, keselamatan dan politik, titah Seri Paduka.

Seri Paduka bertitah kerajaan akan terus memberi penekanan terhadap nilai-nilai akauntabiliti, integriti, pematuhan undang-undang dan tadbir urus yang baik.

Seri Paduka mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan jemaah menterinya kerana berjaya membentuk kerajaan selepas PRU13 pada 5 Mei lepas.

"Beta yakin kerajaan akan terus berusaha dengan gigih untuk membangunkan negara bagi mencapai matlamat menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020," titah Seri Paduka.

Seri Paduka juga mengucapkan tahniah kepada semua anggota Dewan Rakyat dan berharap mereka akan berkhidmat dengan penuh dedikasi dan berintegriti.

Yang di-Pertuan Agong mahu mereka menunjukkan akhlak terpuji demi agama, maruah diri, institusi Parlimen yang mulia dan negara tercinta.

No comments:

Post a Comment