Kehadiran empat warga negara Mexico termasuk seorang wanita melancong ke negeri ini rupa-rupanya mempunyai muslihat lain apabila mereka diberkas polis kerana mencuri Isnin lepas.
Keempat-empat mereka berpura-pura menolong seorang ahli perniagaan wanita yang tayar keretanya pancit di tempat letak kereta di hadapan sebuah pasaraya di Kuala Terengganu sebelum mencuri wang tunai wanita itu kira-kira RM13,000.
Bagaimanapun atas kecekapan polis, kesemua suspek berusia 30 hingga 80 tahun itu tidak sempat berjoli apabila diberkas lima jam kemudian di Jalan Astaka, Kuala Berang dekat Kuala Terengganu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K.Manoharan berkata kesemua suspek telah mengekori mangsa berusia 20-an itu yang baharu sahaja menunaikan cek di sebuah bank berdekatan pasaraya berkenaan kira-kira 1 tengah hari.
Katanya, ketika mangsa kembali ke kereta wanita itu mendapati tayar kenderaannya pancit dan meletakkan wang tersebut di bawah tempat duduk sebelah pemandu sebelum didatangi seorang lelaki warga asing menawarkan diri untuk menolong.
"Suspek memberi sebotol cecair sebelum meminta mangsa memasukkan cecair itu ke dalam tayar yang kempis dan semasa mangsa sedang memasukkan cecair itu, lelaki berkenaan mengambil kesempatan mengambil dan melarikan wang berkenaan," kata Manohaaran kepada pemberita di Kuala Terengganu.
Polis yang menerima laporan wanita itu berjaya mengesan kereta yang dinaiki suspek menghala ke Hulu Terengganu dan berjaya memberkas kesemua suspek bersama wang yang dilarikan itu, katanya.
Manoharan berkata siasatan mendapati kumpulan itu menggunakan modus operandi mengekori mangsa sebelum membocorkan tayar kenderaan dan berpura-pura menolong sebelum mencuri.
Kesemua suspek pertama kali masuk ke negara ini dan telah beberapa bulan berada di negara ini untuk tujuan melancong dan kereta yang digunakan dalam kes itu adalah kereta sewa, katanya.
Katanya, polis percaya kesemua suspek juga terlibat dalam beberapa kes jenayah di tempat lain dengan menggunakan cara yang sama dan keempat-empat suspek kini direman empat hari untuk siasatan.
Manoharan meminta seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang melihat suspek melarikan diri dengan kereta dalam kejadian itu tampil ke balai polis bagi membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment