Friday, June 14, 2013

Terengganu Sedia Pertahan Kejuaraan Sukma Untuk Kali Kelima

Terengganu kini telah bersedia mempertahankan kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) untuk tahun kelima berturut-turut setelah beberapa strategi dan perancangan rapi telah disusun bagi menghadapi kejohanan edisi ke-16 itu di Kuala Lumpur pada akhir bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat berkata, walaupun banyak acara popular yang boleh mendatangkan kemenangan kepada atlet negeri itu seperti sukan kenu dan berbasikal tidak diadakan, namun dengan suntikan semangat yang berterusan kejuaraan mampu dicapai.

"Walaupun tidak ada acara pilihan tapi dengan persiapan awal yang rapi, kita yakin mampu pertahankan kejuaraan yang telah disandang empat kali berturut-turut itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat mingguan exco di Kuala Terengganu, kelmarin.

Pada SUKMA Pahang tahun lepas, Terengganu berjaya mengekalkan kejuaraan kali keempat berturut-turut dengan memperolehi 68 pingat emas. SUKMA Kuala Lumpur akan bermula 28 Jun hingga 7 Julai ini. Rozi berkata pada temasya tahun ini, Terengganu akan mengambil bahagian dalam 17 daripada 20 acara yang akan dipertandingkan yang disertai 438 atlet termasuk pegawai.

Bagaimanapun beliau enggan memberikan sasaran pingat emas dan akan dimaklumkan dalam satu majlis khas meraikan atlet-atlet Terengganu sebelum ke Kuala Lumpur.

Mengenai atlet yang memperolehi pingat emas pada SUKMA tahun ini, pihaknya masih belum memutuskan jumlah imbuhan yang akan diberikan.

 "Seperti tahun lepas, apabila atlet memperolehi pingat emas, ia akan diberi imbuhan sebanyak RM5,000. "Tahun ini kerajaan negeri juga akan beri, namun ia akan diputuskan setelah kejohanan itu selesai kelak," katanya.

No comments:

Post a Comment