Pemimpin dan ahli Umno khususnya BN perlu menerima kemenangan pada PRU13 lalu dengan penuh kesyukuran.
Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pemimpin dan ahli perlu menerima kemenangan dengan penuh tanggungjawab untuk memastikan negara ini terus berada di landasan terbaik.
Menurut beliau yang juga Menteri Pendidikan II itu, perjuangan parti adalah untuk memastikan negara ini terus maju dan rakyat terbela hasil keamanan yang dinikmati selama ini.
“Kita jangan angkuh atau sombong dengan kemenangan yang dikecapi, sebaliknya perlu bekerja lebih kuat,” katanya pada Majlis Kesyukuran Rela Bersama Pemimpin Daerah Besut di Dataran Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Sungai Jertih kelmarin.
Hadir sama, Adun Jertih, Muhammad Pehimi Yusof dan Ketua Rela Daerah, Mohd Zawawi Eilias.
Terdahulu, Idris diusung oleh sepasukan anggota Rela Besut sambil diiringi kira-kira 200 anggota Rela ke khemah program sebagai penghargaan di atas kemenangan dan pelantikan beliau sebagai Menteri Pendidikan II.
Sementara itu Idris berkata, salah satu kunci kemenangan 5-O di Parlimen Besut adalah kerana kehebatan perpaduan dan semua pihak bersatu hati.
“Orang BN di negeri ini jangan murung kerana kita bukan kalah, tetapi menang dan teruskan usaha lebih gigih untuk mencapai lebih kejayaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment