Saturday, June 15, 2013

Himpunan: 15 Individu Termasuk Kanak-Kanak Ditahan


Lima belas individu termasuk kanak-kanak lelaki 10 tahun ditahan selepas ingkar arahan bersurai dalam perhimpunan di hadapan pusat membeli belah di Jalan Tunku Abdul Rahman di semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) berkata 13 lelaki, seorang wanita dan kanak-kanak itu ditahan dalam perhimpunan bermula pukul 2 petang. 

"Kita tahan mereka kerana tidak mahu bersurai bila diarahkan dan membuat gangguan awam di hadapan pusat membeli belah itu.

Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman," katanya.

Difahamkan, perhimpunan tersebut diadakan bagi menggesa orang ramai menyertai satu lagi perhimpunan di Padang Merbok, di sini 22 Jun depan untuk membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13). 

Sementara itu, Zainuddin berkata seorang wanita yang memberi keterangan berhubung kes menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, akan dibebas dengan jaminan petang semalam.

Wanita itu tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pukul 1.15 petang tadi bersama peguamnya. Beberapa laporan polis dibuat selepas komen yang dikatakan menghina titah ucapan Tuanku Abdul Halim sempena hari keputeraan Seri Paduka pada 1 Jun lepas tersiar di laman sosial.

No comments:

Post a Comment