Monday, June 24, 2013

Kerajaan Sedia Lakukan Pembenihan Awan Atasi Jerebu


Pembenihan awan bagi mengurangkan jerebu di negara ini, terutama di Muar dan Ledang di Johor, bagi memperbaiki kualiti udara tidak dapat dilakukan pada waktu ini kerana cuaca yang kering dan tidak berawan.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Datuk Halimah Hassan berkata berdasarkan pemantauan jabatan itu, pembenihan awan boleh dilakukan dalam masa beberapa hari lagi bergantung kepada keadaan awan. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Che Gayah Ismail pula berkata sekiranya pembenihan awan dilakukan dalam keadaan yang tidak sesuai ketika ini, ia tidak akan berjaya.

Keadaan tidak berawan dan kering, berserta taufan Tropika Bebinca (Fabian) yang sedang melanda Laut China Selatan dengan tiupan angin dari Barat Daya yang lebih kuat membawa asap jerebu merentas sempadan di rantau ini, akan menyukarkan lagi proses pembenihan awan, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sidang akhbar bersama itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim. Bagaimanapun, Che Gayah berkata taufan Fabian yang dijangka berakhir esok akan menyebabkan keadaan cuaca lebih baik dengan sedikit hujan untuk mengurangkan jerebu di negara ini.

Keadaan cuaca ketika ini adalah kering melebihi daripada biasa kerana negara kini berada dalam musim Monsun Barat Daya yang dijangka berakhir September ini, katanya.

Di Muar, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata kerajaan sudah bersedia untuk melaksanakan pembenihan awan di kawasan terjejas teruk akibat fenomena jerebu yang melanda daerah Muar, Ledang serta Melaka namun berdepan masalah berikutan jumlah awan yang tidak mencukupi.

Katanya, Tentera Udara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta agensi terbabit sudah bersedia untuk melaksanakannya tetapi masih menunggu keputusan pakar dalam hal terbabit.

Beliau berkata, kajian oleh pakar dalam pembenihan awan diperoleh setakat ini mendapati awan berkurangan di kawasan Muar dan Melaka menyebabkan ia masih belum boleh dilakukan dalam tempoh terdekat.

"Saya sudah bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara dan mengikut laporan terkini keadaan masih terkawal dan cuaca dijangka bertambah baik dalam tempoh sehari dua ini mengikut arah angin dan mungkin (jerebu) berkurangan.

"Semua sistem sudah siap sedia untuk dilaksanakan tetapi masalah utama untuk melakukannya ialah awan yang tiada, apabila cukup saja kita boleh lakukan segera," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Daerah Muar semalam.

No comments:

Post a Comment